Sunday, March 16, 2025
27.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sarawak, Brunei kukuh sektor pertanian

    Oleh Arissa

     

    LIMBANG, 2 Okt – Sarawak terus menjalin kerjasama kukuh dengan Negara Brunei Darussalam dalam memajukan sektor pertanian yang memberi manfaat kepada kedua-dua buah negara.

    Menteri Muda Pertanian, Dr. Abdul Rahman Ismail berkata satu memorandum persefahaman (MoU) antara Sarawak dan Negara Brunei Darussalam bakal dimeterai untuk menjadikan bahagian utara di negeri ini (Limbang dan Lawas) serta Daerah Temburong (Brunei) sebagai pusat pengeluaran bahan asas pertanian.

    “Kita bercadang untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang pertanian antara Sarawak dan Brunei.

    “Sekiranya tiada masalah dan Malaysia meluluskan, MoU ini akan ditandatangani di Brunei pada November ini nanti,” katanya pada Majlis Perayaan Sambutan Kuih Bulan anjuran Persatuan Hockien Limbang di sini, malam kelmarin.

    Turut hadir ialah Ahli Parlimen Limbang, Hasbi Habibollah; Residen Limbang, Datu Maria Hasman; Timbalan Pengarah Jabatan Tanah dan Survei (JTS), Awang Zamhari Awang Mahmud; Penguasa JTS Limbang, Awang Nazri Awang Safri; Temenggung Ang Kheng Su dan Pengerusi Persatuan Hockien Limbang, Kaunselor Lim Thian Chin.

    Beliau berkata bahagian Limbang dan Daerah Temburong bakal menjadi pengeluar bahan asas pertanian melibatkan padi, haiwan ternakan seperti kerbau, lembu, kambing serta buah-buahan tempatan yang mendapat permintaan tinggi di pasaran.

    Dr. Abdul Rahman berkata lagi projek jambatan kedua Sungai Limbang yang akan dibina nanti turut disenaraikan sebagai sebahagian daripada laluan Lebuh Raya Pan Borneo.

    Jelasnya laluan baharu itu akan memberi impak yang lebih baik khususnya untuk menghidupkan bandar Baharu Limbang dan Ranggau Valley berbanding laluan lama yang dipersetujui sebelum ini.

    “Kita yakin dengan laluan baharu untuk Pan Borneo ini nanti ia akan membuka pembangunan di kawasan bandar Baharu Limbang dan Ranggau Valley,” tambahnya.

    Jelasnya laluan baharu ini akan menggunakan Pos Imigresen kedua antara Pendam (Limbang) dan Lumapas (Brunei).

    “Perkara ini dilakukan mengikut rundingan bersama Negara Brunei Darussalam, dan kita sudah maklum balas positif mengenai projek itu hasil rundingan Ketua Menteri Sarawak dan Sultan Brunei,” katanya lagi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda