Thursday, April 24, 2025
26 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sarawak, UM meterai MoA

    KUCHING, 23 APRIL – Kerajaan Sarawak dan Universiti Malaya (UM) hari ini menandatangani satu memorandum perjanjian (MoA) bagi penubuhan ‘Kursi Derma Kekal Yang Amat Berhormat Premier Sarawak.’

    Majlis pertukaran dokumen perjanjian itu disempurnakan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Ekonomi), Datuk Seri Dr Muhammad Abdullah Zaidel; dan Naib Canselor UM, Profesor Datuk Seri Noor Azuan Abu Osman.

    Majlis itu disaksikan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg; Timbalan Premier, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian; Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki; dan Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak), Datuk Abdullah Saidol.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan sempena majlis tersebut, menerusi penubuhan kursi itu kerajaan Sarawak bersetuju menyumbang dana RM5 juta kepada UM untuk menjana pulangan pelaburan bagi memperkasa bidang penyelidikan, penerbitan serta perkhidmatan dalam kerangka ekonomi baharu dan aspek peraturannya.

    “Objektif utama penubuhan Kursi Derma Kekal Yang Amat Berhormat Premier Sarawak ini adalah untuk memperkukuh penguasaan ilmu pengetahuan dalam bidang Ekonomi Baharu,” menurut kenyataan itu.

    Kursi itu akan memberi tumpuan kepada aspek ekonomi serta peraturan baharu yang menyokong pertumbuhan ekonomi dan mempertingkatkan tadbir urus yang lebih progresif. – Bernama

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda