Seniwati Datuk Sarimah Ahmad meluahkan rasa syukur akhirnya berjaya mendapatkan semula pita asal empat filem terbitannya selepas 37 tahun berjuang menuntut hak itu.
Sebak mengenang usaha yang dilakukan sebelum ini, Sarimah, 83, turut berterima kasih kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana menjadi pencetus dalam mendapatkan semula filem tersebut.
“Pertama kali, saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Madani, khususnya kepada perdana menteri kita.
“Saya tidak dapat membalas budi, cuma Allah sahaja yang akan membalasnya,” katanya kepada mStar.
Sarimah berkongsi perkara itu ketika ditemui di majlis Ziarah Seni Madani Finas oleh Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching di kediamannya pada Khamis.

Berkongsi lanjut tentang perjuangan menuntut haknya itu, Sarimah memberitahu beliau pernah berasa hampir berputus asa kerana sering kali menemui jalan buntu.
Bagaimanapun dengan usaha yang ditunjukkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan Persatuan Karyawan Malaysia dalam membantunya mendapatkan filem itu semula, dia kembali yakin perjuangannya ini pasti akan membuahkan hasil.
“Bila melihat Finas dan Karyawan bersemangat untuk membantu saya menyelesaikan isu ini, saya kembali yakin yang usaha ini akan berhasil.
“Sebaik dimaklumkan yang pihak pengedar bersetuju untuk menyerahkan kembali hak cipta filem itu dua minggu lalu, saya terus tergamam.
“Saya tak henti-henti mengucapkan rasa syukur kepada Allah kerana penantian selama 37 berakhir dengan berita gembira,” ujarnya.
Pada Februari tahun lalu, Sarimah meluahkan rasa kecewa apabila seorang penerbit didakwa tidak menepati janji bagi memulangkan pita asal empat filem hasil terbitannya yang disimpan sejak 36 tahun lalu.
Dedah Sarimah, ketika itu dia terpaksa menyerahkan salinan asal pita berkenaan sebagai membayar hutang kepada penerbit yang enggan disebut namanya.
Katanya, empat tajuk pita filem dalam simpanan penerbit berkenaan adalah Kabus Tengah hari, Detik 12 Malam, Dia Ibuku dan Jejak Bertapak mempunyai kenangan tersendiri buatnya. – Agensi