Thursday, May 9, 2024
23.3 C
Brunei

    -

    Afdlin Shauki pernah merajuk, tawar hati buat filem

    Pelakon dan penerbit Malaysia, Datuk Afdlin Shauki memberitahu pernah kecewa dan berputus asa untuk menghasilkan filem baharu susulan pihak berwajib seperti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) tidak prihatin menjaga kebajikan produk tempatan.

    Kata Afdlin atau Afdlin Shauki Aksan, 52, tindakan seolah-olah menganaktirikan karya tempatan itu menyebabkan dia sukar untuk meyakinkan pihak pelabur yang mahu memberi modal dalam penghasilan sesebuah filem baharu.

    “Dahulu cukup senang untuk meyakinkan pelabur, namun ada satu ketika perkara itu menjadi sukar apabila filem kita tidak dijaga dengan baik.

    “Saya jadi putus asa apabila Finas tidak mengambil tindakan terhadap pawagam yang memanipulasi dalam laporan tayangan mingguan sehinggakan filem tempatan boleh ditarik keluar walaupun baru ditayangkan.

    “Ketika itu saya rasakan rugi kalau nak buat filem sedangkan ia tidak mendapat perlindungan,” katanya kepada mStar.

    Afdlin ditemui ketika sesi Town Hall Industri Kreatif Bersama Menteri Komunikasi dan Digital yang berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini.

    Tambahnya dia pernah membuat laporan penipuan pihak pawagam kepada Finas namun tiada sebarang tindakan susulan berlaku.

    “Ketika itu saya buat laporan berserta bukti. Pihak Finas memberitahu akan jalankan siasatan namun seakan tiada tindakan lanjut.

    “Dari situlah saya rasa sangat kecewa dan putus asa untuk buat filem lagi,” jelasnya.

    Bagaimanapun Afdlin kembali berani menerbitkan sebuah filem baharu berjudul Baik Punya Along yang siap menjalani penggambaran sekitar 2021.

    Berkongsi pandangannya mengenai industri perfileman semasa, Afdlin mengharapkan akan berlaku satu perubahan di bawah kepimpinan baharu Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

    Ini selepas banyak isu lama masih belum diselesaikan meskipun sudah acap kali diutarakan.

    “Saya rasa kita perlu lebihkan aspek Infrastruktur. Tidak banyak yang boleh kita ceritakan tentang kemudahan yang ada dalam negara.

    “Setiap kali bertukar menteri saya akan pergi berjumpa. Masalah sama tetap berlaku. Jadi diharapkan kali ini ada perubahan,” jelasnya. – Agensi

    Afdlin akui susah meyakinkan pelabur untuk menghasilkan filem. – Agensi
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Polis Hong Kong gagalkan percubaan rompakan

    HONG KONG, 8 MEI - Polis Hong Kong menahan lima lelaki yang cuba merompak sebuah kedai barang kemas, dengan rakaman kamera litar tertutup (CCTV)...