Friday, October 4, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Satu produk kesihatan dicemari bahan terlarang

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 OKT – Satu produk kesihatan telah didapati dicemari dengan bahan terlarang atau bahan racun berjadual yang tersenarai dalam Akta Racun 1956 yang tidak diisytiharkan.

    Ia adalah hasil daripada ujian makmal yang dijalankan oleh Bahagian Farmasi, Jabatan Perkhidmatan Saintifik, Kementerian Kesihatan.

    Kementerian Kesihatan dalam kenyataannya menyatakan bahawa produk kesihatan yang dicemari itu adalah Bi Shu Ning yang dikilangkan oleh Guang Zhou Wu Yang Pharmaceutical Co Ltd di mana produk berkenaan didapati dicemari oleh dexamethasone dan betamethasone. Bahan pencemar dalam produk berkenaan boleh mengakibatkan kesan-kesan mudarat yang membahayakan kesihatan.

    Pengambilan kortikosteroid, dexamethasone dan betamethasone secara berpanjangan tanpa pengawasan boleh menyebabkan peningkatan pada paras gula dalam darah yang mengakibatkan penyakit kencing manis, tekanan darah tinggi, katarak, penyakit otot dan tulang serta meningkatkan risiko jangkitan yang teruk.

    Pengambilan kortikosteroid dalam jangka panjang juga boleh mengakibatkan Cushing’s syndrome yang mana ciri-cirinya adalah seperti muka bulat atau moon face serta kegemukan pada bahagian badan yang atas dengan anggota kaki dan tangan yang kecil.

    Bi Shu Ning yang didapati dicemari dengan bahan terlarang. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN KESIHATAN

    Pengguna-pengguna yang telah mengambil dos steroid yang tinggi dalam tempoh masa yang lama mungkin mengalami gejala yang termasuk keletihan, sakit otot dan sendi, demam, kadar gula dalam darah yang rendah, tekanan darah yang rendah serta dehidrasi.

    Kementerian Kesihatan tidak pernah mengeluarkan kebenaran ke atas pengimportan bagi penjualan produk berkenaan.

    Berikutan dapatan itu, produk berkenaan adalah dilarang untuk diimport dan dijual di negara ini.

    Orang ramai yang telah membeli atau memakan produk berkenaan adalah dinasihatkan untuk menghentikan pengambilannya dengan serta-merta.

    Jika mereka mengalami kesan sampingan dan merasa tidak sihat selepas memakan produk berkenaan, hendaklah segera berjumpa dengan doktor.

    Untuk maklumat dan perhubungan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Bahagian Komplians dan Pelesenan melalui talian telefon, 2393301 sambungan 208, menghantar e-mel kepada pharmacy.enforcement@moh.gov.bn, berjumpa terus Pegawai Komplians dan Pelesenan di Tingkat 1, Bangunan Jabatan Perkhidmatan Farmasi, Kampung Madaras, Mukim Gadong A atau menghubungi Talian Darussalam 123.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda