Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Satu slot final beregu campuran sah milik Malaysia

    KUALA LUMPUR, 24 Mei – Satu slot final acara beregu campuran pada Masters Malaysia 2024 sudah pasti menjadi milik pasangan Malaysia, apabila Chen Tang Jie-Toh Ee Wei akan membuat perhitungan dengan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie pada aksi separuh akhir, esok.

    Pada aksi suku akhir hari ini, Tang Jie-Ee Wei selaku pilihan utama mudah menewaskan rakan senegaranya, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, 21-19 dan 21-14 manakala Soon Huat-Shevon Lai menyingkirkan pasangan Indonesia, Rehan Naufal Kusharjanto-Lisa Ayu Kusumawati, 12-21, 21-17 dan 21-17.

    Tang Jie, 26, berkata mengekalkan ‘ketenangan’ ketika pihak lawan berada dalam prestasi terbaik ketika di gelanggang sentiasa menjadi pegangan hidup mereka.

    “Tenang bukan bermaksud kita mendiamkan diri (sebaliknya) cara bagaimana kita bertindak ketika pihak lawan sedang dalam prestasi terbaik dalam gelanggang. Saya rasa ini paling penting bagi kami berdua,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Ee Wei, 24, pula enggan memikirkan banyak perkara sebaliknya ingin menikmati perlawanan demi perlawanan kerana merasakan setiap pasangan mempunyai kekuatan mereka tersendiri.

    Bagi Soon Huat, 34, yang mengalami kecederaan pergelangan tangan kanan dan pinggul kanan pada set kedua perlawanan hari ini merasakan lawan mereka esok mempunyai kelebihan tersendiri dengan Tang Jie-Ee Wei mempunyai kelajuan dan kekuatan pemain muda.

    “(Manakala) saya dan Shevon mempunyai pengalaman dan rentak. (Namun) sekarang saya fokus pemulihan dengan secepat mungkin,” katanya. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...