Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 OGOS – SEAMEO VOCTECH baru-baru ini telah menandatangani dua memorandum per-sefahaman (MoU) dengan dua institusi akademik dari Malaysia iaitu Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA), dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
Penandatanganan berkenaan berlangsung di PSA pada 28 Julai lalu dengan disaksikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Politeknik dan Kolej Komuniti, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, Dr Haji Mohd Zahari bin Ismail.
Beliau menggariskan has-rat untuk Pusat TVET Serantau menjalankan aktiviti dan kerjasama dalam pembangunan TVET melalui usaha kolaboratif dalam bidang latihan, penyelidikan dan pertukaran pengetahuan.
Menandatangani kedua-dua MoU berkenaan bagi pihak SEAMEO VOCTECH ialah Pengarah Pusat Serantau SEAMEO VOCTECH, Awang Alias bin Haji Abu Bakar bersama Timbalan Pengarah Hal Ehwal Profesional dan Pakar Penyelidikan, Dr Paryono sebagai saksi.
Manakala itu, PSA diwakili oleh Pengarah, Dr Norhayati binti Zakaria dan UTHM diwakili oleh Naib Canselor, Profesor Ir Ts Dr Ruzairi bin Abdul Rahim, dengan disaksikan oleh Pengarah Penyelidikan Malaysia Institut Pendidikan dan Latihan Vokasional (MyRIVET), UTHM, Profesor Emeritus Dr Jailani bin Md Yunos.
Awang Alias dipetik berkata, kerjasama berkenaan merupakan satu platform untuk membuka jalan bagi latihan bersama dan insiatif penyelidikan, fakulti program pertukaran, dan perkongsian amalan terbaik.
Selepas pemeteraian MoU, pengurusan SEAMEO VOCTECH telah dibawa melawat ke kemudahan latihan institusi, dan menghadiri perbincangan lebih meluas mengenai bidang-bidang yang berkaitan.