Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 SEPT – Sektor pelancongan bagi rantau BIMP-EAGA terus menunjukkan pertumbuhan yang bertenaga dengan kadar purata pertumbuhan ketibaan pelancongan sebanyak 6.6 peratus iaitu mencapai sebanyak 88.2 juta ketibaan pada 2017.
Rantau kecil berkenaan juga terus menjadi pusat pelaburan yang menarik dengan pelaburan lebih AS$20 bilion dicatatkan bagi pelaburan asing dan domestik.
Dengan sektor pelancongan yang berkembang serta penglibatan dengan pihak yang berkepentingan swasta dan perkembangan positif bersama rakan-rakan kongsi termasuk Wilayah Utara Australia, Asian Development Bank (ADB) dan China, rantau BIMP-EAGA akan terus menjana pertumbuhan dan kemakmuran.
Pada masa yang sama, penumpuan inisiatif-inisiatif antara sektor pelancongan dengan sektor-sektor lain khususnya sektor pengangkutan terutama perkembangan kesalinghubungan udara serta perkembangan pelancongan kapal layar, ia setentunya akan menyokong pertumbuhan pelancongan secara keseluruhannya.
Perkara itu dijelaskan oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Pelancongan) di Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Awang Wardi bin Haji Mohammad Ali ketika berucap pada perasmian Mesyuarat Kluster Pembangunan Pelancongan Bersama (JTD) BIMP-EAGA ke-16 yang berlangsung di Hotel Kiulap Plaza, Kiulap, hari ini.

Beliau juga menyatakan bahawa mereka harus merangkul revolusi perindustrian ke-4 dalam usaha menuju ke arah inisiatif-inisiatif pelancongan pintar menerusi kluster ICT, kluster pendidikan dan sosiobudaya, kastam, imigresen, kuarantin dan sekuriti (CIQS) bagi memastikan perjalanan yang licin dan lancar.
Beliau menambah bahawa penglibatan dan kerjasama dengan rakan-rakan kongsi yang lain adalah terus relevan dalam menyokong pertumbuhan inklusif dan mapan di rantau kawasan pertumbuhan Asia Timur dalam menangani keadaan ekonomi global yang tidak menentu.
Awang Wardi turut menggalakkan negara-negara anggota untuk menggunakan Kluster Pembangunan Pelancongan Bersama sebagai platform yang efektif dalam memberikan keputusan yang lebih tertumpu dengan dibimbing oleh Visi BIMP-EAGA 2025 ke arah memajukan BIMP-EAGA sebagai destinasi ekopelancongan pilihan utama.
Pada masa yang sama, beliau turut menggalakkan negara-negara anggota BIMP-EAGA untuk terus menyokong dan menyelaraskan aktiviti-aktiviti dalam Pelan Strategik Pelancongan ASEAN 2016-2025 serta untuk memperluaskan kerjasama dengan rakan-rakan strategik ASEAN bagi meningkatkan peluang pekerjaan pelancongan dan mata pencarian ekonomi bagi manfaat bersama komuniti setempat khususnya di rantau kecil BIMP-EAGA.
Mesyuarat Kluster JTD BIMP-EAGA ke-16 berlangsung selama dua hari bermula hari ini dan dihadiri oleh lebih 50 orang terdiri daripada pegawai-pegawai kanan dan pegawai dari Indonesia, Malaysia, Filipina serta Negara Brunei Darussalam.
Mesyuarat membincangkan mengenai perkembangan dalam pelaksanaan Projek Rolling Pipe 1 2017-2019 (berdasarkan mesyuarat perancangan strategik 2019) khususnya dalam pembangunan infrastruktur sokongan dan akses pelancongan, pembangunan produk ekopelancongan, pembangunan sumber manusia dalam pelancongan dan promosi pendekatan yang diselaraskan kepada pengurusan alam semula jadi, kebudayaan serta warisan.
Mesyuarat itu juga membincangkan mengenai inisiatif-inisiatif penyelarasan termasuk pengangkutan, pendidikan dan sosiobudaya, alam sekitar, teknologi komunikasi dan maklumat serta kastam, imigresen dan kuarantin.
Di samping menghadiri mesyuarat berkenaan, para delegasi juga akan dibawa untuk mengadakan lawatan ke Katimahar Agripark di mana mereka berpeluang untuk mengalami sendiri pelbagai aktiviti yang ditawarkan termasuk pengembaraan ATV, memetik buah-buahan dan sayur-sayuran serta menerokai taman herba.