BELGRADE, 2 JAN – Seorang lelaki bersenjata yang membunuh sekurang-kurangnya 10 orang, termasuk dua kanak-kanak, maut selepas membunuh diri dalam kejadian tembakan di bandar kecil Cetinje, Montenegro semalam, lapor agensi berita Jerman, dpa.
Menurut pihak berkuasa, empat lagi individu dilaporkan cedera parah.
Kerajaan Montenegro hari ini mengarahkan tempoh berkabung nasional selama tiga hari bagi menghormati mangsa yang terkorban dalam kejadian itu.
Menurut laporan media, suspek berusia 45 tahun itu terlibat dalam pertengkaran dengan seorang pelanggan di sebuah pub. Dia kemudian pulang ke rumah untuk mengambil senjata api dan kembali ke pub untuk membunuh dan mencederakan beberapa orang.
Selepas meninggalkan tempat kejadian, dia menembak mati lebih ramai orang di beberapa lokasi berasingan di bandar itu.
Ketua Polis sementara Montenegro Lazar Scepanovic dalam sidang media berkata suspek kemudian kembali ke rumah dan menembak dirinya selepas polis mengepung kediaman itu dan memintanya menyerah diri. – Bernama