Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Sembahyang Sunat Gerhana Bulan di seluruh negara

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 OKT – Berikutan fenomena gerhana bulan separa, Sembahyang Sunat Gerhana Bulan telah diadakan seluruh masjid, surau dan balai ibadat di Negara Brunei Darussalam, pagi tadi.

    Di Masjid Omar Ali Saifuddien, Sembahyang Sunat Gerhana Bulan berjemaah diimamkan oleh Pegawai Masjid, Masjid Omar Ali Saifuddien, Begawan Mudim Haji Amran bin Haji Mohd Salleh dengan Penguasa Masjid Omar Ali Saifuddien, Awang Zulkifli bin Haji Murat selaku khatib.

    Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keagamaan), Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh, para pengarah, pegawai-pegawai kanan, pegawai dan kakitangan dari KHEU serta penduduk yang tinggal di sekitarnya.

    Sejurus selesai solat Sunat Gerhana, khutbah khas juga telah dibacakan mengenai fenomena berkenaan.

    Khatib menjelaskan, apabila berlakunya gerhana, umat Islam seharusnya menjadikannya satu iktibar dan pengajaran untuk meningkatkan kesedaran diri supaya selalu ingat akan kebesaran dan kekuasaan Allah SWT serta memohon ampun kepadaNya dan bertaubat atas segala dosa yang telah dilakukan.

    Gerhana merupakan suatu kejadian memperlihatkan keagungan dan kebesaran Allah SWT yang berlaku pada matahari dan bulan sebagai tanda atau bukti kekuasaanNya sepertimana terjadinya siang dan malam.

    Apabila berlakunya gerhana, Rasulullah SAW menganjurkan umat Islam supaya melakukan perkara-perkara yang berkebajikan seperti berdoa, berzikir, bersembahyang, bersedekah dan beristighfar.

    Haji Mohammad Rosli dan para jemaah lain ketika menunaikan solat sunat gerhana bulan secara berjemaah di Masjid Omar Ali Saifuddien, di ibu negara. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...