BANGKOK, 2 Feb – Berikutan tertangkapnya raja dadah ASEAN, Xaysana Keopimpha yang sekarang merengkuk dalam penjara, maklumat mengenai kegiatan haramnya dengan selebriti dan orang terkemuka di negara ini mula terbongkar.
Pihak berkuasa Thailand mendakwa lelaki warga Laos itu didisyaki mendalangi sindiket penyeludupan dadah di seluruh rantau itu menggunakan selebriti dan orang terkemuka di Thailand serta Laos dalam kegiatan pengubahan wang haram dan menyembunyikan aset hasil kegiatan jenayah itu.
“Selebriti hiburan, sosial dan anggota rangkaian bisnes jual beli kereta mewah terkemuka Thailand kini terlibat,” ketua Biro Kawalan Narkotik (NSB) Lt Jen Sommai Kongvisaisuk dipetik oleh media tempatan hari ini.
Kegiatan yang dijalankan oleh Xaysana di Thailand mula terbongkar selepas pihak berkuasa negara itu menahan tiga lelaki di wilayah Udon Thani di timur laut Thailand Ahad lepas dan merampas 720,000 pil metamfetamin.
Sommai berkata, raja dadah itu menampilkan dirinya sebagai seorang lelaki kaya dari Laos.
“Apabila Xaysana datang ke sini, dia menghoskan parti dengan menjemput selebriti hiburan dan selebriti dari bidang lain di Thailand sebagai tetamu. Selepas menjalin hubungan, dia menggunakan mereka untuk aktiviti pengubahan wang haram,” katanya.
Awal hari ini, pihak berkuasa Thailand menyerbu ke sebuah kedai milik suami kepada salah seorang pelakon wanita terkenal negara itu kerana disyaki mempunyai hubungan dengan sindiket penyeludupan dadah didalangi Xaysana.
Sejak dia ditangkap di Lapangan Terbang Suvarna-bhumi pada 19 Jan, media Thai dihujani dengan berita mengenai rangkaian penyeludupan dadah didalangi Xaysana di Thailand dan negara lain di rantau itu di samping penonjolan gaya hidupnya yang mewah.
Ketua NSB dalam temu bual eksklusif dengan Bernama baru-baru ini berkata, lelaki rakyat Laos itu yang juga dikenali sebagai “Mr X” di kalangan pihak berkuasa anti dadah, juga mempunyai hubungan dengan sindiket dadah Malaysia.
Sommai mendedahkan bahawa kebanyakan dadah, metamfetamin dan heroin tulen dirampas oleh pihak berkuasa Thailand daripada sindiket Malaysia di selatan Thailand yang dalam perjalanan ke negara jiran itu diperoleh dari rangkaian Xaysana.
“Semua kes besar melibatkan sindiket Malaysia cuba menyeludup dadah dari Thailand ke Malaysia menjurus kepada penglibatan Xaysana. Sindiket Malaysia mendapat bekalan dadah dari rangkaian Xaysana,” kata beliau.
Menurut media tempatan, raja dadah warga Laos itu juga menjalankan perniagaan yang sah seperti hotel, kilang papan dan pengedar kereta di samping menjalani gaya hidup sebagai selebriti.
Melalui akaun Facebooknya, Xaysana memperlihatkan secara sekali imbas mengenai gaya hidup dan kekayaannya dengan memuat naik gambar koleksi kereta mewahnya termasuk Lamborghini.
Gambarnya bersama ramai tokoh-tokoh terkenal di Laos termasuk keluarga seorang bekas ahli politik utama di negara ini, juga tersiar.
Seorang pegawai penguatkuasa anti dadah berpangkat tinggi juga menunjukkan kepada Bernama visual Xaysana memandu kereta mewah Lamborghini semasa bercuti di Phuket, beberapa hari sebelum dia ditangkap di Bangkok.
Pegawai itu juga berkata, raja dadah tersebut juga memiliki hartanah bernilai tinggi di Thailand dan perniagaan lain. – Bernama