SYDNEY, 29 DIS – Seorang maut manakala seorang lagi cedera parah selepas pesawat ringan terhempas di utara Sydney hari ini, menurut pihak polis, lapor Xinhua.
Pasukan kecemasan termasuk polis, ambulans dan sebuah helikopter penyelamat dikerah ke lokasi nahas di lapangan terbang di Pulau Palmers, 500km utara Sydney, New South Wales (NSW) kira-kira 11:20 pagi.
Dalam satu kenyataan, Polis NSW memaklumkan juruterbang pesawat meninggal dunia di lokasi kejadian. Mangsa belum dikenal pasti secara rasmi, namun dipercayai seorang lelaki berusia sekitar 60an.
Penumpang tunggal pesawat itu seorang lelaki dipercayai berusia 30an menerima rawatan di lokasi sebelum dihantar ke hospital berhampiran akibat kecederaan serius.
Menurut laporan ABC, pesawat itu terhempas tidak jauh dari landasan lapangan terbang berkenaan. – Bernama