Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OKT – Separuh jalan di jalan susur dari Lebuh raya Tungku menuju ke Lebuh raya Rimba iaitu hala Gadong/Bandar Seri Begawan akan ditutup sementara pada 6 hingga 10 Oktober bermula pukul 8 pagi hingga pukul 5:30 petang, tertakluk kepada keadaan cuaca.
Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Pembangunan dalam kenyataannya memaklumkan penutupan sementara separuh jalan itu adalah bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan tambak jalan raya yang rosak untuk dilaksanakan.
Dalam hubungan itu, JKR menasihatkan para pengguna jalan raya berkenaan untuk sentiasa berhati-hati, mematuhi papan tanda arahan jalan raya serta had kelajuan yang telah ditetapkan ketika melalui kawasan tersebut.