KYIV, 3 MAC – Tujuh orang terbunuh apabila serpihan dron Rusia mengenai blok apartmen di bandar pelabuhan Odesa di selatan Ukraine semalaman, kata Perkhidmatan Kecemasan Negeri Ukraine pada hari Sabtu. Seorang anak damit berusia tiga bulan adalah antara yang maut.
Lapan orang lagi cedera, kata pihak berkuasa.
Gabenor wilayah Odesa, Oleh Kiper berkata dron Shahed ditembak jatuh oleh pertahanan udara Ukraine, dan serpihan yang jatuh mengenai bangunan pangsapuri.
Angkatan Tentera Ukraine melaporkan bahawa wilayah Odesa diserang oleh lapan dron, di mana tujuh daripadanya ditembak jatuh oleh pertahanan udara.
Di seluruh negara, pertahanan udara menembak jatuh 14 daripada 17 dron yang dilancarkan terhadap Ukraine, menurut angkatan tentera.
Gabenor wilayah Kharkiv Oleh Syniehubov melaporkan pagi kelmarin bahawa lebih 20 penempatan di wilayah timur Ukraine telah mengalami serangan artileri dan mortar Rusia, manakala bangunan tinggi di ibu kota wilayah itu, juga dipanggil Kharkiv, rosak akibat serangan dron.
Beliau berkata tiada kemalangan jiwa, tetapi tiga orang mengalami ‘reaksi tekanan akut’.
Di wilayah Kherson yang sebahagiannya diduduki, tembakan meriam Rusia membunuh seorang lelaki berusia 53 tahun pada pagi kelmarin, kata pejabat pendakwa wilayah Kherson.
Di Rusia, sebuah dron merempuh sebuah bangunan pangsapuri di St. Petersburg pada pagi kelmarin, menurut agensi berita Rusia RIA Novosti.
Enam orang menerima bantuan perubatan selepas letupan menggegarkan bangunan itu, kata agensi itu, memetik perkhidmatan akhbar jawatankuasa penjagaan kesihatan bandar itu. – AP