RASA buah rock melon atau batat memang amat lazat dan menyegarkan kerana ia sesuai sangat dimakan pada musim panas.
Buah ini dikatakan padat dengan air iaitu lebih kurang 90 peratus air di dalamnya.
Kandungan air yang banyak inilah menyebabkan ia begitu menyegarkan, menyejukkan dan menghidratkan tubuh badan.
Rock melon tergolong dalam keluarga Cucurbitaceae. Ia dikenali sebagai rock melon berikutan daripada struktur kulitnya yang kasar.
Tetapi berbeza dengan kulit, isi buah yang juga dikenali sebagai cantaloupe (cucumis Melo L) ini adalah jelas amat halus.
Buah ini pula terbahagi kepada dua jenis kulit iaitu satu yang berkulit kasar seperti jaring dan satu lagi jenis berkulit licin.
Isi buah rock melon ini berwarna jingga adalah kerana ia penuh dengan kandungan beta karotena.Beta karotena adalah pelopor kepada vitamin A di mana ia dikatakan mengandungi 30 kali lebih beta karotena jika dibandingkan dengan oren walaupun warnanya lebih pucat dengan warna buah oren.
Secara tidak langsung, rock melon turut menyumbang kepada kebaikan terhadap makanan yang kaya dengan vitamin A.


Tujuan vitamin A ini adalah bagi mengurangkan keradangan, merendahkan risiko daripada mendapat kanser, penyakit jantung dan katarak pada mata.
Selain vitamin A, buah yang juga dikenali dengan nama cantaloupe ini juga mengandungi sumber terbaik kepada vitamin C dan antioksidan.
Vitamin C amat perlu untuk merangsang sistem imun dan memastikan kesihatan berada dalam keadaan baik. Ia juga turut menyerang radikal bebas yang akan membantu menentang kanser.
Rock melon mengandungi serat, vitamin B3, B6 dan asid folik dalam jumlah yang banyak. Asid folik yang tinggi menjadikan ia sebagai pilihan terbaik untuk wanita hamil.
Ia merupakan bahan penting dalam penghasilan pembentukan sel-sel darah merah tambahan yang diperlukan sepanjang kehamilan.
Zat ini hanya satu-satunya yang mampu mencegah kecacatan saraf anak damit sewaktu dilahirkan.
Bukan itu sahaja, asid folik turut memainkan peranan penting dalam pertumbuhan semuia sel kulit.
Selain semua kebaikan yang dimilikinya, tembikai wangi turut mengandungi kolagen yang baik untuk kesihatan kulit.
Kolagen mampu membantu proses pertumbuhan semula kulit dan mempercepatkan pelepasan sel kulit mati dari dalam wajah anda.
Kandungan kolagen di dalamnya juga mampu untuk menjadikan kulit kelihatan lembab dan halus serta untuk cantik, makanlah rock melon sekerap yang mungkin.
Baik untuk berdiet
Dikatakan 100 gram rock melon hanya mengandungi 5.7 gram gula, 0.1 lemak dan 29 kalori. Rock melon juga penuh dengan kalium yang dikatakan mampu untuk membuang garam berlebihan daripada tubuh sekali gus merendahkan risiko penyakit jantung dan tekanan darah tinggi.
Meskipun manis, tetapi ternyata buah ini sesuai untuk diet kerana buah tersebut mengandungi rasa manis yang semula jadi.
Saat diet, anda boleh mengambil beberapa potong buah ini sebelum makan. Tetapi jangan memakannya terlalu banyak kerana ia akan menjadikan perut anda terasa seperti mengandungi banyak air.
Buah ini merupakan sumber terbaik bagi serat pemakanan dan tidak mengejutkan kerana kandungan air yang tinggi terdapat di dalamnya.
Kandungan serat pula membantu proses penghadaman dengan mudah dan mampu untuk mengelakkan anda daripada mengalami sembelit.
Sementara kandungan kalium di dalam rock melon pula amat berguna kerana ia menghantar oksigen ke otak dan memperlahankan degupan jantung yang bermakna bahawa memakan buah rock melon mampu untuk memberikan kesan yang menenangkan.
Buah rock melon juga kaya dengan adenosina, sejenis bahan yang mengikat sifat-sifat penipisan darah di mana ia membantu untuk mencegah pembekuan darah sekali gus merendahkan risiko arteri tersumbat.
Kehadiran folat dalam darah juga dikatakan mampu untuk mencegah serangan jantung. – Agensi