Thursday, December 26, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Serikandi, Apollo Hospitals jalin kerjasama

    Oleh Daniel Lim –

    BELAIT, 11 NOV – Dalam usaha memperkukuh penjagaan kesihatan melalui kolaborasi klinikal dan kesihatan digital di Brunei Darussalam, Serikandi Holdings dan Apollo Hospitals telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) pada majlis yang berlangsung di Chennai, India, baru-baru ini.

    Perkongsian itu bertujuan membawa kepakaran perubatan paling maju dan penyelesaian kesihatan digital ke Brunei, sekali gus membuka jalan bagi kesalinghubungan dan kerjasama penjagaan kesihatan yang dipertingkatkan.

    Hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif Serikandi Holdings Sdn Bhd, Revi Bhaskaran; Pengarah Perkhidmatan Perubatan Apollo Hospitals, Dr RK Venkatesalam; Pesuruhjaya Tinggi Brunei ke India, Tuan Yang Terutama Dato Paduka Haji Alaihuddin bin Pehin Orang Kaya Digadong Seri Lela Dato Seri Utama Haji Awang Mohd Taha; dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (LKEB), Daniel Leong.

    Selesai majlis penandatanganan, Revi Bhaskaran dan wakil dari LKEB melawat Pusat Kanser Proton Apollo, di mana mereka menyaksikan teknologi terkini Apollo dan perkhidmatan terapi proton khusus.

    Kolaborasi itu menekankan komitmen Apollo terhadap piawaian antarabangsa bagi penjagaan pesakit dan inovasi, memberikan inspirasi kepada wakil Serikandi dan LKEB untuk menimbang mengintegrasikan kemajuan berkenaan ke dalam sistem penjagaan kesihatan Brunei.

    Apollo Hospitals, penyedia penjagaan kesihatan terkemuka di Asia, terkenal dengan kecemerlangannya dalam penjagaan pesakit, penyelidikan dan inovasi dalam kardiologi dan onkologi.

    Ditubuhkan pada tahun 1983, Apollo telah menetapkan penanda aras global dengan rangkaian hospital yang luas dan perkhidmatan khusus.

    Kerjasama yang terjalin adalah selaras dengan Wawasan Brunei 2035 dan strategi pertumbuhan berterusan Serikandi, mencerminkan komitmen bersama untuk meningkatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan di Brunei.

    Dengan mempertingkat kepakaran klinikal dan memajukan kesihatan digital, Serikandi dan Apollo menyasarkan untuk meletakkan Brunei sebagai hab serantau untuk pelancongan kesihatan, selain mengukuhkan infrastruktur perubatan negara dan kesihatan masyarakat.

    Dr RK Venkatesalam dan Revi Bhaskaran bergambar ramai semasa majlis berkenaan. – GAMBAR SERAHAN SERIKANDI HOLDINGS
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda