Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Sesat di hutan cari lamiding

    Oleh Shidah –

    Peristiwa ini sudah berlaku hampir 10 tahun lalu namun ia masih tetap segar di ingatanku. Semasa kecil, kira-kira berumur 9-10 tahun, aku sering mengikut nenekku mengambil sayur lamiding yang sememangnya menjadi sayur kegemaranku sehingga kini.

    Petang itu nenek tidak mengizinkan aku untuk mengikutinya kerana katanya dia hendak pergi jauh sedikit ke dalam hutan. Namun aku tetap berkeras hendak mengikutnya. Aku bertambah ‘iski’ apabila dua orang sepupuku juga ikut serta.

    Aku tahu nenek merasa susah hati apatah lagi aku berteman, tentu hanya akan ingat keseronokan bermain sahaja. Nenek berjalan di depan manakala kami mengikutnya di belakang. Dia juga menasihati kami agar tidak memperkatakan apa-apa ganjil yang kami lihat atau dengar.

    Sambil berjalan, aku dan dua orang sepupuku berlumba-lumba memetik sayur lamiding itu, kononnya siapa yang paling banyak maka dialah champion. Aku yang sememangnya sudah biasa telah memetik hampir sepenakulan sayur lamiding. Aku merasa puas hati dan sedikit bangga.

    Tiba-tiba baru aku teringat akan nenek, dan dua orang sepupuku yang lain. Nenek sudah tidak kelihatan di depanku lagi. Aku berjalan seorang diri sambil berteriak memanggil sepupu-sepupuku dan juga nenek.

    Gambar Freepik

    “Ni, Oo Ni! Wan! Ina! Mana kamu?!.” Tiada sahutan. Setelah hampir lima minit berjalan, aku tahu yang aku sudah sesat. Aku menangis namun masih meneruskan perjalananku sambil berteria teriak. Terdengar juga suara sumbang sang kera dan suara burung bulu roma, maklum hari sudah senja, bunyi keruak kedengaran menyeramkan. Kata nenek, syaitan sering berkeliaran ketika waktu-waktu senja. Kira-kira lima meter dari tempat berdiri, aku terlihat sepupu-sepupuku, Wan dan Ina. Aku berasa gembira lalu memanggil mereka. Namun mereka tidak memperdulikanku malah masih terus berjalan. Aku berjalan sedikit laju dan memanggil-manggil mereka tapi mereka masih tidak memperdulikanku.

    Aku berlari dan mendapatkan mereka.

    “Oi Wan! Na! Ke mana kamu tadi?” Aku merasa terkejut tak terkata setelah kedua-duanya memalingkan muka. Muka mereka hitam pekat berserta lendir-lendir seperti ambuyat, tak bermata dan berbulu. Kedua-duanya tersenyum memandangku. Selepas itu aku tak tau apa yang terjadi.

    Apabila aku membuka mata, aku sudah berada di rumah nenek. Kata nenek aku dijumpai pengsan berdekatan dengan pokok durian yang besar di belakang rumah nenek setelah puas mereka mencari. Aku menceritakan apa yang terjadi. Aku dan semua ahli keluargaku serta jiran-jiran terdekat bersyukur kerana aku tidak diapa-apakan oleh jelmaan sepupu-sepupuku itu. Hanya sayur lamiding yang ku perolehi itu sudah tiada lagi.

    Kata nenek, itu semua hanya jelmaan syaitan yang banyak berkeliaran apatah lagi di waktu senja. Aku juga merasa menyesal kerana tidak mengikut kata nenek. Semenjak itu, aku tidak lagi berani mengikut nenek ke hutan mencari sayur lamiding, walaupun ia tetap menjadi sayur kegemaranku hingga kini.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...