Friday, May 3, 2024
23 C
Brunei

    -

    Siapa ketuk pintu keretaku?

    Oleh Farkhana Juita –

    Kehangatan menyambut Hari Raya masih terasa. Waktu itu, aku bersama dua orang adikku pergi ke rumah terbuka sepupuku yang terletak di Muara. Aku bertolak awal dari rumahku di Kampung Masin kira-kira 7:30 malam kerana takut terlewat pulang memandangkan rumahku agak jauh juga dari sepupuku dan sebagai seorang perempuan, tentu sekali aku tidak berani untuk pulang lewat pada jauh malam.

    Kira-kira pukul 9 malam, barulah aku sampai ke destinasi yang hendak dituju. Aku berasa gembira pada hari itu kerana ramai sanak saudara berkumpul di situ. Cerita demi cerita kami bualkan, rupa-rupanya jam sudah menunjukkan pukul 11:30 malam. Aku pun memanggil dua orang adikku dan meminta izin kepada sepupuku untuk pulang.

    Adik-adikku memberitahuku bahawa mereka ingin bermalam sahaja di sana. Sepupuku mengajak aku untuk bermalam saja di rumahnya tetapi aku menolaknya kerana kereta ayahku dan sudah tentu keesokan paginya ayahku ingin menggunakan kereta tersebut.

    Dalam perjalananku hendak menuju ke rumah, aku terpaksa melintasi sebatang jalan yang kecil bersebelahan dengan kubur Cina. Itu sajalah jalan yang ada untuk menuju ke rumahku. Kulihat jam tanganku sudahpun menunjukkan pukul 12 tengah malam. Entah kenapa hatiku memaksa mataku untuk menoleh ke kawasan kubur Cina tersebut.

    Apabila kulihat, tiada apa yang ada tetapi setelah kutoleh semula ke hadapan, ku lihat asap berkepul-kepul di hadapan cermin hadapan keretaku.

    Gambar Freepik

    Ku toleh semula ke kawasan kubur tadi sambil tanganku meraba-raba untuk membuka radio yang masih mengudarakan siaran mengaji Al-Quran.

    “Tuk..Tuk..Tuk.

    “Ya Allah!,” terkejut aku apabila tingkap keretaku di belakang telah diketuk.

    Kukuatkan diriku untuk melihat siapakah gerangannya yang mengetuk tingkap kereta di belakang tadi tetapi tiada siapapun yang kulihat.

    “Astaga, mun hantu yang mengetuk, cemana ni? Aku lagi seorang, kepisan ni eh!” kataku seorang diri.

    Darahku tersirap dengan tiba-tiba dan bulu tengkukku meremang.Kucuba kuatkan kakiku untuk menekan minyak tetapi semangatku kian lemah apabila di hadapan keretaku ada kain putih terbang melayang.

    Aku mula panik apabila kain putih itu mula menutupi cermin hadapan keretaku. Tiba-tiba…Boom!

    Bila ku sedarkan diri, aku mendapati aku sedang terlantar di hospital dan diriku dikelilingi oleh ibu bapaku dan keluargaku. Rupa-rupanya aku telah terlanggar tembok berdekatan dengan kawasan kubur Cina. Apabila ibuku menyedari bahawa aku sudah sedarkan diri, ibuku terus saja memelukku. Aku bersyukur kerana aku telah terselamat daripada kemalangan dan cuma dahiku saja yang sedikit tercalar akibat terhantuk pada cermin depan kereta.

    Aku lalu menceritakan tentang kejadian semalam kepada keluargaku. Ayahku menceritakan bahawa kawasan tanah perkuburan tersebut sering terjadi kemalangan kerana tempat tersebut dikatakan berpenunggu dan orang yang selalu melintas di situ pada lewat malam sering bertemu dengan makhluk yang ganjil atau sesuatu yang ganjil seperti yang kutemui semalam.

    Dan di tempat itu juga dikatakan seorang perempuan pernah dilanggar dan ditinggalkan di kawasan tersebut.

    Apabila perempuan itu ingin mendapatkan bantuan pada orang yang melintas di situ, mereka akan mempercepatkan kereta mereka.Mungkin mereka menyangkakan perempuan itu hantu.

    Dan disebabkan darah perempuan itu sudah banyak keluar, perempuan itu pun meninggal di situ juga dan mayatnya ditemui keesokan paginya oleh orang kampung yang lalu di kawasan itu.

    Setelah mendengar cerita tersebut daripada ayahku, aku berasa simpati juga kepada perempuan itu yang telah menerima nasib yang malang.

    Aku berdoa agar roh perempuan itu aman tenteram dan semoga rohnya dicucuri rahmat, Amin… Dari saat itu, aku tidak lagi berani untuk pulang lewat malam.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Angka kematian lebuh raya runtuh di China meningkat kepada 48

    BEIJING, 2 MEI - Angka kematian akibat runtuhan lebuh raya di wilayah Guangdong, selatan China telah meningkat kepada 48, kata media kerajaan hari ini,...