Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Sesi tingkat hubungan dua hala kerajaan-rakyat

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 DIS – Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Hubungan Masyarakat, Seksyen Komunikasi Strategik, Bahagian Penerbitan dan Komunikasi Strategik, hari ini telah mengadakan Program Sua Muka bagi Kampung Lugu dan Kampung Katimahar, Mukim Sengkurong bertempat di Pejabat Penghulu dan Ketua-ketua Kampung Mukim Sengkurong.

    Ia merupakan usaha jabatan untuk menyampaikan maklumat mengenai isu-isu semasa dan dasar kerajaan dan dalam masa yang sama untuk menerima maklum balas yang perlu diambil perhatian dan tindakan oleh agensi-agensi kerajaan yang berkenaan, menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Penerangan.

    Mengetuai rombongan Jabatan Penerangan ialah Pegawai Penerangan Kanan, Ketua Bahagian Penerbitan dan Komunikasi Strategik, Hajah Hamsah binti Datu Kerna Haji Jaya dan disertai oleh beberapa orang pegawai dan kakitangan Jabatan Penerangan.

    Turut hadir menyampaikan maklumat terkini kepada penduduk kampung berkenaan ialah pegawai-pegawai kanan dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan Pertanian, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan.

    Hajah Hamsah dalam mukadimahnya telah menekankan mengenai peranan Jabatan Penerangan sebagai lidah, mata dan telinga kerajaan dalam menyampaikan apa jua maklumat, dasar kerajaan dan isu-isu semasa kepada rakyat dan penduduk di negara ini melalui beberapa landasan yang antara lain ialah Program Sua Muka dan juga melalui terbitan akhbar rasmi Pelita Brunei.

    Program berkenaan, jelas beliau adalah salah satu program di bawah strategi kerja Jabatan Penerangan iaitu Komunikasi Bersemuka yang dihasratkan untuk meningkatkan hubungan dua hala antara pihak kerajaan-rakyat dan rakyat-kerajaan dengan membarigakan maklumat dan mengendalikan program hubungan masyarakat yang dapat menyumbang kepada perkembangan dan kemajuan mukim atau kampung.

    Pemangku Ketua Kampung Lugu dan Katimahar, Haji Bujang bin Haji Abdul Ghani dalam ucapan balas menyambut baik program berkenaan yang setentunya dapat memberikan manfaat dan peluang keemasan kepada penduduk kampung berkenan untuk mendengar maklumat-maklumat terkini yang disampaikan oleh agensi-agensi kerajaan antaranya tatacara permohonan tapak pertanian dan juga beberapa isu yang perlu diketahui oleh penduduk kampung.

    Program diakhiri dengan sesi dialog mengenai isu-isu yang dibangkitkan oleh penduduk kampung yang antara lain berkaitan dengan kesejahteraan, prasarana dan kemudahan awam.

    Hajah Hamsah semasa menyampaikan ucapan pada Program Sua Muka bertempat di Pejabat Penghulu dan Ketua-ketua Kampung Mukim Sengkurong, kelmarin. – GAMBAR SERAHAN JABATAN PENERANGAN
    Antara yang hadir pada sesi program tersebut. – GAMBAR SERAHAN JABATAN PENERANGAN

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...