Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Terap nilai kewangan sosial Islam

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 DIS – Seramai 200 orang menghadiri Persidangan Antarabangsa Universiti-universiti ASEAN dalam Kewangan Islam (AICIF) ke-11 anjuran Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) selaku penganjur utama yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis perasmian persidangan di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB) ialah Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Dato Seri Paduka Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Brunei Darussalam Central Bank (BDCB).

    Dalam ucapan perasmiannya, Dato Seri Paduka Haji Khairuddin menekankan keperluan untuk mempelajari daripada apa yang telah dialami semasa krisis kewangan yang lalu dan wabak baru-baru ini, di mana kewangan Islam terus berusaha untuk menerajui dalam keadaan yang berbeza.

    “Peranan tanggungjawab sosial telah mengambil pendirian yang ketara dan berharap kewangan Islam kekal teguh dan berdaya tahan dalam pelbagai cabaran yang akan datang, untuk menjadi lebih daripada sekadar institusi kewangan yang menyediakan perkhidmatan kewangan kepada masyarakat.

    “Walaupun perbincangan mengenai konsep kemapanan akhir-akhir ini telah mengalihkan fokus tunggal daripada aspek alam sekitar, ia kini merangkumi dimensi komprehensif yang mengambil kira keseluruhan kesejahteraan manusia dan masyarakat dari pelbagai sudut,” tambahnya.

    Katanya lagi, adalah baik untuk mewujudkan jambatan yang menawarkan segmen masyarakat yang berbeza untuk mengambil bahagian dalam ekonomi dengan memupuk matlamat pembangunan mampan yang sesuai dengan norma dan nilai kewangan Islam.

    Dato Seri Paduka Haji Khairuddin hadir bersama tetamu lain pada persidangan yang dianjurkan UNISSA kelmarin. – GAMBAR SERAHAN ROKIAH MAHMUD
    Antara peserta yang mengambil bahagian dalam persidangan tersebut. – GAMBAR SERAHAN ROKIAH MAHMUD

    Beliau juga percaya kehadiran dari seluruh ASEAN pada persidangan itu mampu memupuk perkongsian untuk matlamat sebagai permulaan di mana intelektual yang bersatu boleh menjana idea yang tersendiri dan inovatif untuk kedua-dua topik ini untuk memberi manfaat kepada negara, masyarakat dan individu.

    Pada majlis itu, ucaptama disampaikan oleh Pensyarah, Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam (FEKIm), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Profesor Madya Dr Hakimah Yaacob dengan tajuk Exploring Islamic Values and Norms on Sustainability from Multidisciplinary Approaches.

    Antara yang hadir ialah Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal, pegawai-pegawai utama UNISSA, wakil-wakil dari universiti-universiti di ASEAN, para pembentang dan peserta persidangan dari dalam dan luar negara.

    Persidangan tahun ini membawa tema Islamic Finance and Sustainable Development Goals (SDGs): The Way Forward dan matlamat utamanya adalah sebagai langkah universiti melalui ahli-ahli akademik untuk membincangkan penilaian yang teliti terhadap kemajuan terkini dalam bidang perbankan dan kewangan Islam, menonjolkan peranan kewangan sosial Islam dalam mengukuhkan pembangunan ekonomi serta akibat daripada kebangkitan kewangan sosial Islam yang muncul dalam revolusi perindustrian kewangan global.

    Persidangan AICIF ke-11 juga mendapat tajaan daripada BDCB, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) dan Takaful Brunei Darussalam.

    Penganjur utama persidangan tahun ini dianjurkan bersama oleh Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, (UIAM) Universitas Islam Negeri Sunan Kalijaga Yogyakarta, Universitas Islam Sultan Agung (UNISSULA), Universitas Darussalam Gontor (UNIDA) dan Mindanao State University Filipina.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...