Wednesday, October 16, 2024
26.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Shasha Abedul tutup aurat, ubah penampilan

    Hampir sebulan tampil dengan imej bertudung, pelakon Shasha Abedul terdetik mengubah penampilannya selepas berasa bersalah ketika mahu memuat naik foto tidak menutup aurat di laman sosialnya.

    Shasha, 28, berkata, disebabkan perasaan tersebut dia membulatkan hati selain percaya ia adalah petunjuk dalam melakukan perubahan.

    “Ia datang sendiri (hidayah), cuma ada satu hari saya bangun hendak memuat naik gambar (tak bertudung) di IG tapi rasa bersalah. Bila dah buat keputusan nak pakai tudung saya tak mahu lengahkan sebab saya tak tahu jika perasaan sebegitu akan datang lagi atau tidak,” katanya kepada mStar.

    Shasha berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media drama bersiri Project: Exit di Dadi Cinema, Pavillion, Kuala Lumpur pada malam kelmarin.

    Dalam pada itu, Shasha memberitahu dia sebenarnya sudah lama memasang niat menutup aurat dengan sempurna. Hasrat itu sering tertangguh kerana enggan perubahan dilakukan tidak sepenuh hati dan akan kembali kepada imej asal.

    “Saya memang dah lama pasang niat, tapi saya jenis orang yang tidak mahu buat satu perkara setengah jalan. Jadi saya pergi kelas agama dan fahamkan kenapa perlu tutup aurat, untuk siapa aurat kita. Saya tak mahu buat untuk mendapat pujian orang, apa saya lakukan sekarang adalah ikut perintah Allah SWT,” katanya.

    Bercerita lanjut tentang perubahan dilakukan, Shasha menyifatkan dia seperti mati hidup semula dan merasakan dirinya seperti insan baharu.

    Pelakon drama Projek: High Council itu juga sukar mengungkapkan dengan kata-kata tentang keputusan dibuat dan berdoa Allah tidak membolak-balikkan hatinya untuk kekal istiqamah dan mengikut perintah-Nya.

    “Alhamdulillah (kekal istiqamah), saya berharap sangat Allah tak hilangkan rasa itu,” ujarnya.

    Pada akhir September lalu, Shasha mengejutkan peminat apabila memuat naik foto dia mengenakan hijab dan memadam gambar-gambar menampakkan aurat di Instagram miliknya. – Agensi

    Shasha sudah berhijab sepenuhnya hampir sebulan. – mStar

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda