Sejak pasangan Nur Fazura dan Fattah Amin bercerai, nama pelakon Sherry Ibrahim pula menjadi tumpuan warganet malah ramai seakan-akan kurang senang melihat setiap perbuatan aktres tersebut.
Ada juga mendakwa Sherry atau Syarizad Ibrahim, 41, seolah-olah cuba mencari perhatian selepas memuat naik video memaparkan dirinya sedang menyanyi.
“Dia ini macam perasan saja lepas Fattah berpisah dengan Fazura,” tuduh seorang pengguna TikTok.
Bengang membaca komen berkenaan, Sherry menyelar tindakan individu tersebut malah memintanya berhenti menyebarkan fitnah.
“Hi! Apa masalah awak ya? Jangan nak buat fitnah dekat sini,” tegasnya.
Menerusi video yang dimuat naik di TikTok, Sherry dilihat menyanyikan lagu berjudul Sampai Menutup Mata nyanyian Acha Saptriasa.
Berdasarkan tinjauan mStar, itu bukanlah kali pertama Sherry berkongsi video dirinya menyanyi.
Pelakon itu juga sebelum ini dilihat aktif memuat naik content atau kandungan menerusi akaun TikTok miliknya.
Sebelum ini, Sherry sempat menitipkan ucapan kepada Fattah meminta pelakon itu terus kuat berdepan penceraian demi anak dan keluarganya.
Untuk rekod, Sherry dan Fattah pernah menjalinkan hubungan cinta pada 2014 namun berpisah dua tahun kemudian.
Fattah mendirikan rumah tangga dengan Fazura pada 27 November 2017 namun perkahwinan tujuh tahun mereka tidak bertahan lama selepas bercerai pada 7 Oktober lalu.
Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Nur Fatima Aisya, 4 tahun. – Agensi