(Dengan nama Allah, segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan
Waqaf dalam Islam adalah satu amalan mulia kerana orang yang melaksanakannya berjaya membelanjakan hartanya bagi tujuan membantu atau memudahkan orang lain, selain berusaha mendapatkan ganjaran pahala daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Amat jelas dinyatakan di dalam hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bahawa keistimewaan amalan berwaqaf ini ialah ganjaran pahala itu tetap berterusan diterima oleh si pewaqaf selama mana harta atau benda yang diwaqafkan itu masih wujud dan masih dimanfaatkan oleh orang lain walaupun si pewaqaf itu sudah meninggal dunia.
Di Negara Brunei Darussalam pula, berwaqaf sudah mula menjadi amalan yang giat diusahakan oleh pelbagai pihak, sama ada individu yang berwaqaf atau kumpulan individu yang berwaqaf atas nama sesebuah organisasi atau jabatan kepada pihak-pihak tertentu bagi meraikan tuntutan agama berkaitan perkara kebajikan dan amr ma‘ruf.
Berwaqaf al-Qur’an, tanah untuk tapak masjid atau tapak sekolah, rumah, buku-buku, merupakan antara contoh waqaf yang sering didengar.
Selain daripada itu, terdapat juga beberapa agensi kerajaan mahupun swasta yang menawarkan pakej barangan berupa buku, kerusi roda, permaidani sembahyang dan yang seumpamanya di samping menawarkan kemudahan untuk menyerahkan kepada pihak yang akan menerima, semata-mata bertujuan untuk memudahkan orang ramai berwaqaf.

Dalam hal penerima manfaat waqaf, ia bergantung pada niat atau sighah (lafaz) pewaqaf itu sendiri sama ada penerima manfaat waqaf itu ditentukannya secara khusus atau tidak ditentukan, hanya dinyatakannya umum secara kategori.
Namun yang pasti, tidak kira penerimanya itu ditentukan secara khusus atau tidak, terdapat syarat yang perlu dipatuhi agar maksud waqaf itu boleh direalisasikannya sebagaimana yang digariskan oleh syara‘.
MAKSUD WAKAF MENURUT SYARA’
Dari segi syara‘, waqaf bermaksud menahan suatu harta yang boleh dimanfaatkan dalam keadaan harta tersebut tetap kekal fizikalnya, di mana pewaqaf memutuskan hak tasharrufnya terhadap benda atau barang yang diwaqafkannya, untuk dikhususkan manfaatnya kepada pihak penerima yang diharuskan dan sabit kewujudannya.
Maksud pewaqaf menahan suatu harta miliknya dengan memutuskan hak tasharrufnya terhadap harta tersebut ialah pewaqaf memberhentikan haknya terhadap harta tersebut daripada sebarang urusan jual beli, hibah, gadai, wasiat dan pusaka.
SECARA DASARNYA BERWAQAF DALAM ISLAM IALAH:
a. Menahan suatu harta atau benda yang diwaqafkan dan hanya boleh diambil manfaat daripadanya oleh penerima manfaat waqaf atau oleh orang awam, mengikut niat orang yang berwaqaf.
b. Pemilikan harta waqaf berpindah daripada tuan punya harta atau benda yang diwaqafkan itu kepada milik Allah Ta‘ala. Untuk berwaqaf pula, pewaqaf perlu berlafaz umpamanya dia berkata: “Saya waqafkan bangunan ini untuk dijadikan sekolah”.
SYARAT PENERIMA MANFAAT WAQAF
Rukun waqaf ada empat, iaitu:
1. Pewaqaf (orang yang berwaqaf).
2. Barang yang diwaqaf.
3. Penerima waqaf.
4. Sighah (lafaz waqaf).
Maksud penerima waqaf adalah orang yang menerima manfaat barang yang diwaqafkan. Penerima manfaat waqaf dibahagikan kepada dua, iaitu:
i. Penerima manfaat waqaf yang ditentukan
ii. Penerima manfaat waqaf yang tidak ditentukan
PERTAMA: PENERIMA MANFAAT WAQAF YANG DITENTUKAN
Penerima manfaat waqaf yang ditentukan ada dua:
a. Individu dengan ditentukan nama. Contohnya pewaqaf berkata: “Saya wakafkan barang ini kepada si Fulan”.
b. Kumpulan yang ditentukan sama ada dengan disebut:
– Nama-nama orang yang ditentukan. Contohnya pewaqaf berkata: “Saya berwaqaf barang ini kepada si Fulan, si Fulan dan si Fulan”.
– Ataupun dengan disebut sifat orang-orang yang ditentukan. Contohnya pewaqaf berkata: “Saya berwaqaf barang ini kepada anak-anak si Fulan yang fakir”.