Monday, April 28, 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sifat ujub bawa bencana

    UJUB dari bahasa arab di mana pengertiannya secara umum adalah berbangga atau membanggakan diri sendiri, serta merasa hairan terhadap kehebatan diri sendiri dengan sebab adanya sesuatu dan hal lain.

    Diri sendiri yang dimaksudkan di sini adalah mengenai pribadinya, golongannya, kelompoknya atau apa saja yang dianggap erat hubungannya dengan dirinya sendiri. Kalau dalam istilah orang-orang melayu disebut sebagai ‘Masuk Bakul, Angkat Sendiri’ atau kata orang muda-muda ‘ditindih perasan’.

    Bahaya ‘Ujub

    Bahaya ‘Ujub (membanggakan diri sendiri) itu adalah banyak, antaranya:

    Pertama: ‘Ujub itu menyebabkan timbulnya rasa sombong sebab memang ‘ujub itulah yang menyebabkan salah satu dari berbagai sebab kesombongan timbul. Dari ‘ujub maka muncullah keta-kaburan kita. Sedangkan takabur, kita sudah tahu tentang sifat dan bahayanya. Takabur kepada hal-hal yang berhubungan dengan manusia, dan takabur dengan hal-hal yang berhubungan dengan keimanan kepada Allah S.W.T. Dia boleh lupa segala dosa-dosa yang telah dilakukannya, lupa menjalankan kewajipannya sebagai mana diatur dalam ajaran keimanan kepada Allah S.W.T. Ia mengira bahawa ia telah banyak berbuat amal soleh.

    Kedua: Bila seseorang sudah dihinggapi penyakit ‘ujub, dia lupa pada bahaya-bahaya ‘ujub itu sendiri, dia sudah tertipu oleh perasaan dan pendapatnya sendiri. Dia merasa apa-apa yang datang dari dirinya sendiri semua serba hebat dan agung. Dia tertipu dan mengira bahawa dirinya akan merasa tersingkir dari siksaNya kerana dia merasa sudah banyak amalan-amalan baik yang telah dilakukannya.

    Ketiga: Kerana ‘ujubnya, dia kurang sedar terhadap kedudukkan dirinya, dia akan memuji-muji dirinya, menyanjung dirinya sendiri dan menganggap suci dirinya serta bersih dari segala kesalahan dan dosa. Padahal yang demikian itu sudah amat membosankan bagi orang yang mendengarnya.

    Bila cubaan dan musibah datang menerpa, orang-orang yang terjangkiti penyakit ujub akan berteriak: ‘Wahai kawan-kawan, selamatkan diri masing-masing!’. Berbeza halnya dengan orang-orang yang teguh di atas perintah Allah Subhanahu Wa Ta’ala, mereka tidak akan melanggar qadha’ dan qadar Allah. – Gambar hiasan
    Jika seseorang itu memperlakukan orang lain dengan baik, nescaya orang lain akan membalas lebih baik kepadanya. – Gambar hiasan

    Keempat: Seorang yang ‘ujub tidak suka mencari kemanfaatan ilmu pengetahuan daripada orang lain, sebab sudah merasa amat pandai. Dia tidak suka bertanya kepada sesiapapun kerana merasa malu dan khuatir dianggap bodoh. Bahaya lain adalah dia tidak suka bermusyawarah dan lebih menggemari kawan-kawannya mengiakan pendapatnya.

    Kelima: Jika usahanya gagal, orang ‘ujub ini akan melemparkan kesalahan pada orang lain, rakan atau orang bawahannya.

    Keenam: Dia bangga dan gembira kalau segala sesuatu itu timbul dari pendapatnnya dan suka sekali mempopularkan apa-apa yang ada pada dirinya. Sebaliknya tidak suka kepada kemasyhuran yang dicapai oleh apa-apa yang digagas oleh orang lain. Seseorang yang bersifat ‘ujub kerana merasa kacak, cantik, kuat, tangkas, keturunan orang berdarjat tinggi, kaya dan lain-lain yang kebetulan saja dimiliki oleh dirinya.

    Ringkasnya dia meng‘ujubkan sesuatu yang bukan haknya sendiri, sebab semuanya adalah dari keutamaan Allah S.W.T semata. Oleh itu, dia tidak seharusnya bersikap ‘ujub tetapi berterima kasih serta bersyukur kepada kelebihan dan nikmat yang telah diberikan. Sebab itu, Jika Allah menghendaki, maka semua kenikmatan yang diperolehinya boleh hi-lang sekelip mata.

    Orang yang terkena penyakit ujub akan memandang remeh terhadap dosa-dosa yang dilakukannya dan menganggapnya bagai angin lalu. Nabi SAW telah mengkhabarkan kepada kita dalam sebuah hadis:

    “Orang yang jahat akan melihat dosa-dosanya seperti lalat yang hinggap di hidungnya, dengan santai dapat diusirnya hanya dengan mengibaskan tangan. Adapun seorang mukmin melihat dosa-dosanya bagaikan berada di bawah kaki gunung yang siap menimpanya.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

    Sebab-sebab ujub

    1. Faktor lingkungan dan keturunan

    Iaitu keluarga dan lingkungan tempat seseorang itu hidup. Seorang insan biasanya hidup sesuai dengan asuhan tangan kedua orang tuanya. Ia akan menyerap kebiasaan-kebiasaan keduanya atau salah satunya, sama ada positif mahupun negatif, seperti sikap senang dipuji, selalu menganggap diri suci dan sebagainya.

    2. Sanjungan dan pujian yang berlebihan

    Sanjungan berlebihan tanpa memperhatikan etika agama dapat diadaptasikan dengan penyembelihan. Sering kita temui sebahagian orang yang terlalu berlebihan dalam memuji hingga seringkali membuat yang dipuji lupa diri.

    3. Bergaul dengan orang yang terkena penyakit ujub.

    Tidak syak lagi bahawa setiap orang akan menuruti tingkah laku rakannya. Rasulullah SAW sendiri bersabda:

    “Perumpamaan rakan yang soleh dan rakan yang jahat adalah seperti orang yang berkawan dengan penjual minyak wangi dan tukang besi.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

    4. Kufur nikmat dan lupa kepada Allah Subhanahu Wataala

    Begitu banyak nikmat yang diterima seorang hamba, tetapi ia lupa kepada Allah Subhanahu Wata’ala yang telah memberinya nikmat itu. Sehingga hal itu mengiringnya kepada penyakit ‘ujub. Dia membanggakan dirinya, yang sebenarnya tidak layak untuk dibanggakan. Allah Subhanahu Wata’ala telah menceritakan kepada kita tentang kisah Qarun;

    “Qarun berkata: ‘Sesungguhnya aku hanya diberi harta itu, kerana ilmu yang ada padaku’.” (Surah Al-Qashash, ayat 78)

    5. Menangani suatu pekerjaan sebelum matang dan belum terbina dengan sempurna

    Pada masa ini, ramai yang kita temui orang-orang yang berlagak pintar persis seperti kata pepatah ‘sudah dipetik sebelum matang’. Berapa banyak orang yang menjadi korban dalam hal ini! Dan itu termasuk perbuatan sia-sia. Yang lebih parah lagi adalah seseorang yang mengaku dirinya sebagai seorang ulama padahal dia tidak memiliki ilmu sama sekali. Lalu dia membincangkan mengenai banyak permasalahan yang terkadang dia sendiri jahil tentang hal itu.

    6. Jahil dan mengabaikan hakikat diri (lupa daratan)

    Sekiranya seorang insan benar-benar merenungi dirinya, asal-usul penciptaannya sampai menjadi manusia sempurna, nescaya ia tidak akan terkena penyakit ujub. Ia pasti meminta kepada Allah SWT agar dihindarkan dari penyakit ujub sejauh-jauhnya.

    7. Berbangga-bangga dengan nasab dan keturunan

    Seorang insan terkadang memandang mulia terhadap dirinya kerana darah yang mengalir di tubuhnya. Ia menganggap dirinya lebih utama dari si Fulan dan Fulan. Ia tidak mahu mendatangi si Fulan sekalipun berkepentingan. Dan tidak mahu mendengarkan ucapan si Fulan. Tidak syak lagi, ini merupakan penyebab utama datangnya penyakit ujub.

    8. Berlebih-lebihan dalam memuliakan dan menghormati

    Barangkali inilah hikmahnya Rasulullah SAW melarang sahabat-sahabat Baginda untuk berdiri menyambut Baginda. Dalam sebuah hadis riwayat Abu Daud, Rasulullah SAW bersabda:

    “Barangsiapa yang suka agar orang-orang berdiri menyambutnya, maka bersiaplah dia untuk menempah tempatnya di Neraka.” (Hadis Riwayat At-Tirmidzi)

    Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda:

    “Janganlah kamu berdiri menyambut seseorang seperti yang dilakukan orang Ajam (bukan Arab) sesama mereka.” (Hadis Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah dari Abu Umamah Radhiyallahu ‘anhu)

    9. Lupa terhadap akibat yang timbul dari penyakit ujub

    Sekiranya seorang insan menyedari bahawa dia hanya menuai dosa dari penyakit ujub yang menjangkiti dirinya dan menyedari bahawa ujub itu adalah suatu pelanggaran hukum, sedikitpun dia tidak akan bersikap ujub.

    Kesan ‘Ujub

    1. Jatuh dalam jerat-jerat kesombongan sebab ‘ujub merupakan pintu menuju kesombongan.

    2. Dijauhkan dari pertolongan Allah.

    Allah Subahanahu Wata’ala berfirman:

    “Orang-orang yang berjihad (untuk mencari keredhaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami.” (Surah Al-Ankabut, ayat 69)

    3. Sentiasa menghadapi berbagai krisis dan cubaan kehidupan.

    Bila cubaan dan musibah datang menerpa, orang-orang yang terjangkiti penyakit ujub akan berteriak: ‘Wahai kawan-kawan, selamatkan diri masing-masing!’

    Berbeza halnya dengan orang-orang yang teguh di atas perintah Allah Subhanahu Wa Ta’ala , mereka tidak akan melanggar qadha’ dan qadar Allah, sebagaimana yang dituturkan Ali bin Abi Thalib Radhiyallahu ‘anhu.

    “Siapakah yang mampu lari dari hari kematian? Bukankah hari kematian hari yang telah ditetapkan? Bila sesuatu yang belum ditetapkan, tentu aku dapat lari darinya. Namun siapakah yang dapat menghindar dari takdir? “

    4. Dibenci dan dijauhi orang.

    Tentu saja, seseorang akan diperlakukan sebagaimana dia memperlakukan orang lain. Jika seseorang itu memperlakukan orang lain dengan baik, nescaya orang lain akan membalas lebih baik kepadanya. Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman:

    “Apabila kamu dihormati dengan suatu penghormatan, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik, atau balaslah (dengan yang serupa).” (Surah An-Nisa’, ayat 86)

    Namun apabila seseorang kerap kali meremehkan orang lain dan dia menganggap orang lain tidak ada apa-apa jika dibandingkan dirinya, tentu saja tidak ada orang yang merasa senang kepadanya. Sebagaimana kata pepatah ‘Jika engkau menghina orang lain, ingatlah! Orang lain juga akan menghinamu’.

    5. Akan menerima azab dan pembalasan di dunia sama ada cepat ataupun lambat.

    Seseorang yang terkena penyakit ujub pasti akan merasakan pembalasan atas sikapnya itu. Dalam sebuah hadis disebutkan:

    “Ketika seorang lelaki berjalan dengan mengenakan pakaian yang labuh, rambut tersisir rapi sehingga ia takjub pada dirinya sendiri, seketika Allah membenamkannya hingga dia terjerumus ke dasar bumi sampai hari Kiamat.” (Hadis Riawayat Al-Bukhari)

    Hukuman ini dirasakannya di dunia akibat sifat ujub. Seandainya dia bebas dari hukuman tersebut di dunia, yang jelas amalnya pasti terhapus.

    Syaitan mempermalukan seseorang dengan rasa ‘ujub (kagum) pada diri sendiri. Seseorang yang ujub pada diri-nya sendiri akan terungkap kesalahannya, yang mana memalukan. Sifat ujub itu seperti kerikil di jalan.

    Orang yang ujub adalah orang yang menuntut harga yang tinggi untuk diri-nya dari yang sepatutnya. Menurut Imam Syafi’i,

    “Barangsiapa yang menaikan harga dirinya di atas harga yang sesuai dengannya, maka Allah akan mengembalikannya pada nilai yang sesuai.”

    Sikap meremehkan dan menyerang orang lain juga adalah salah satu tanda yang paling menonjol dari sifat ujub. Oleh itu jangan padamkan cahaya amalan anda dengan sifat ujub! – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda