SINGAPURA – Awal bulan ini, kisah ‘Rahayu’ yang hilang dan kembali ke tempat asalnya selepas dijaga dengan baik selama hampir 16 bulan di Singapura, menjadi perhatian ramai.
Pada Oktober 2015, ‘Rahayu’, seekor penyu seberat 30 kg dari perairan Malaysia ditemui semasa ia cuba melintas jalan di Lim Chu Kang di sini dengan mata kail tercucuk dibibirnya. Tidak diketahui bagaimana ia berakhir di Singapura.
Reptilia itu diselamatkan oleh seorang pemandu dan dibawa ke ACRES atau Animal Concerns Research and Education Society of Singapore.
Selepas dirawat dan dipulihkan, ‘Rahayu’ diserahkan kepada pihak berkuasa di Johor pada 2 Februari, 2017, dan akan dibebaskan di laut yang selamat di utara Semenanjung Malaysia.
‘Rahayu’ juga mencetuskan satu kejayaan yang besar bagi ACRES. Setelah banyak usaha diambil untuk memulangkan reptilia ke habitat asalnya, ‘Rahayu’ adalah reptilia pertama untuk dihantar pulang dengan jayanya oleh ACRES.
![Reptilia itu diselamatkan oleh seorang pemandu dan dibawa ke ACRES atau Animal Concerns Research and Education Society of Singapore.](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/02/Rahayu-2-M2_240217.jpg)
![WRS menguruskan beberapa institusi zoologikal bertaraf dunia seperti Jurong Bird Park, Night Safari, River Safari dan Zoo Singapura.](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/02/Rahayu-3-M2_240217.jpg)
Pusat Penyelamat Hidupan Liar ACRES adalah kediaman bagi 190 haiwan liar yang diselamatkan daripada memperdagangkan haram hidupan liar, atau yang disimpan sebagai haiwan peliharaan secara tidak sah atau ditinggalkan.
Hidupan liar dalam sangkar
Begitu mengagumkan bila melihat Singapura menghargai hidupan liar. Walaupun, negara pulau ini tidak mempunyai banyak spesies hidupan liar semulajadi, ia mempunyai banyak hidupan liar dalam sangkar. Hidupan liar ini walaupun dikurung namun tetap dijaga dengan baik dan di biak khasnya untuk menjamin spesies terancam tidak pupus.
Jurong Bird Park, Night Safari, River Safari dan Singapore Zoo melaporkan lebih 600 kelahiran dan penetasan berlaku pada 2016. Antara binatang itu ialah spesies Asia Tenggara yang sangat terancam seperti tenggiling Sunda, tuntung laut (painted terrapin), kera bekantan (proboscis monkey), mynah Bali dan jalak putih (black-winged starling), yang kesemuanya di ambang kepupusan.
Sebanyak sembilan tuntung laut, antara spesies tuntung air tawar paling teruk terancam, menetas pada April di Singapore Zoo. Zoo itu juga menyaksikan kelahiran satu lagi anak kera bekantan pada April 2016, kera yang diancam kepupusan di Borneo.
Sejak 1999, Singapore Zoo menyaksikan kelahiran 30 ekor anak kera bekantan dan Singapura dikatakan paling banyak menyaksikan kelahiran anak kera itu di luar habitat semula jadi haiwan itu iaitu Indonesia.
Di Night Safari pula, Neha, iaitu anak gajah Asia yang lahir pada 12 Mei mencuit hati orang ramai dengan gelagatnya. Taman haiwan itu juga menyaksikan kelahiran kelima tenggiling Sunda yang diancam kepupusan, pada 7 Oktober, 2016.
Ini menjadikan Night Safari antara taman hidupan liar paling berjaya di dunia dalam menjaga dan membiak haiwan-haiwan yang paling banyak menjadi mangsa memperdagangkan haram. Dua ekor tenuk (Malayan tapir) masing-masing lahir pada Oktober dan Disember tahun lepas sekali gus mencatatkan bilangan kelahiran dalam kurungan sebanyak 30 ekor sehingga ini.
![‘Rahayu’ juga mencetuskan satu kejayaan yang besar bagi ACRES.](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/02/Rahayu-1-M2_240217.jpg)
Spesies burung Asia Tenggara yang terancam terus membiak di Jurong Bird Park, penetasan tiga ekor jalak putih dan empat ekor mynah Bali, kedua-dua spesies yang sangat terancam kerana permintaan tinggi akibat memperdagangkan burung dengan nada suara menarik.
Kerjasama dengan pelbagai organisasi
Taman itu sedang berusaha bersama-sama dengan pertubuhan-pertubuhan seperti Begawan Foundation dan Cikananga Conservation Breeding Centre, kedua-duanya di Indonesia, yang berusaha menyelamatkan populasi burung-burang jarang boleh ditemui ini dengan harapan untuk memperkenalkan semula binatang berkenaan di habitat asal.
“Kami mempunyai misi untuk melindungi dan memulihara biodiversiti di Singapura dan rantau, dan kami bangga untuk melaporkan bahawa pasukan penjagaan haiwan kami menunjukkan prestasi baik dalam membiak antara hidupan liar yang paling jarang boleh ditemui di Asia Tenggara pada 2016,” kata Timbalan CEO dan Ketua Pegawai Sains Hayat, Wildlife Reserves Singapore (WRS), Dr Cheng Wen-Haur.
“Ini antara pelbagai cara kami berusaha untuk menyelamatkan hidupan liar ini daripada pupus. Kami juga dengan aktif menyokong usaha pemuliharaan dan penyelidikan di habitat semula jadi haiwan-haiwan itu,” tambah beliau.
WRS menguruskan institusi zoologikal bertaraf dunia – Jurong Bird Park, Night Safari, River Safari dan Singapore Zoo – yang mahu membawa inspirasi kepada orang ramai supaya menghargai dan memulihara biodiversiti dengan menyediakan pengalaman hidupan liar yang bermakna dan sukar dilupakan.
Sebuah pertubuhan biaya sendiri, WRS menumpu kepada melindungi biodiversiti di Singapura dan Asia Tenggara melalui kerjasama dengan rakan, pertubuhan dan institusi dengan matlamat sama. Setiap tahun, empat taman hidupan berkenaan menarik kedatangan 4.6 juta pengunjung. – Bernama