Kesungguhan penyanyi remaja, Ummi Umairah, 14, membawa diri sebagai anak seni membuka peluang buatnya bernaung di bawah syarikat pengurusan milik ibu saudara, Datuk Seri Siti Nurhaliza iaitu SN Legacy Sdn Bhd, lapor BH Online.
Usaha dan minat mendalam ditunjukkan Umairah atau mesra disapa Umai dalam bidang seni suara menjadi faktor utama Siti yang juga Biduanita Negara melamarnya menjadi artis pertama SN Legacy.
Siti berkata, dia terbuka membimbing Umai secara profesional selepas anak saudaranya itu memanfaatkan bantuan diberikan untuk bertanding di World Championships of Performing Arts (WCOPA) di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS), Julai tahun lalu dengan membawa pulang pingat emas.
“Saya tidak mengikatnya lebih awal kerana mahu lihat Umai tunjukkan kebolehan serta kemampuan dalam bidang nyanyian.
“Bagi saya, penting untuk Umai mencari pengalaman seperti saya lakukan dahulu. Pada awal sebagai penyanyi, saya ambil pelbagai tawaran menyanyi, termasuk kenduri kahwin atau fun fair. Dahulu bersama syarikat rakaman Suria Records (SRC) memang berbeza dengan sekarang. Saya sudah lalui zaman 1990an hingga sekarang. Jadi, saya melihat perlu membimbing Umai dengan cara lebih baik dan profesional,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian Umai sebagai artis di bawah SN Legacy di sebuah restoran, baru-baru ini. – Agensi