Thursday, May 2, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    SK Hynix, TSMC jalin kolaborasi

    SEOUL, 19 APRIL – SK Hynix Korea Selatan, pembuat cip memori kedua terbesar di dunia, hari ini mengumumkan kerjasama dengan gergasi semikonduktor Taiwan, TSMC untuk membuat cip memori lebar jalur tinggi (HBM) generasi akan datang yang digunakan dalam teknologi kecerdasan buatan (AI).

    SK Hynix menguasai pasaran cip HBM komponen penting untuk memacu AI dan merupakan pembekal utama kepada Nvidia, syarikat cip yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS). TSMC juga merupakan pembekal Nvidia.

    Syarikat Korea Selatan itu ‘baru-baru ini menandatangani memorandum persefahaman dengan TSMC untuk kerjasama dalam menghasilkan HBM generasi akan datang’, kata SK Hynix dalam satu kenyataan hari ini.

    SK Hynix ‘merancang untuk meneruskan pembangunan HBM4, atau generasi keenam dalam keluarga HBM, yang dijadualkan untuk dihasilkan secara besar-besaran mulai 2026, melalui inisiatif ini’, tambahnya.

    Untuk membangunkan HBM4, ‘proses logik canggih’ TSMC akan diguna pakai untuk menghasilkan ‘HBM yang disesuaikan untuk memenuhi pelbagai permintaan pelanggan dari segi prestasi dan kecekapan tenaga’, kata SK Hynix.

    Kedua-dua firma itu juga akan bekerjasama untuk mengoptimumkan integrasi HBM SK Hynix dan proses pembungkusan TSMC, yang dikenali sebagai teknologi CoWoS, kata syarikat Korea Selatan itu.

    Peranan unik Nvidia dalam revolusi AI telah menggemparkan dunia sejak pengenalan ChatGPT oleh OpenAI pada akhir 2022. – AFP

    Seorang kakitangan berdiri di hadapan logo Syarikat Pembuatan Semikonduktor Taiwan (TSMC) di Muzium Pengubahsuaian Taiwan di Taman Sains Hsinchu di Hsinchu pada 5 Julai 2023. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Parlimen Korea S luluskan siasatan baharu insiden kematian Marin

    SEOUL, 2 MEI - Parlimen Korea Selatan hari ini meluluskan rang undang-undang untuk mengadakan siasatan baharu ke atas kematian orang ramai semasa Halloween 2022...