Saturday, November 16, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Skim Persaraan Kebangsaan terima pengiktirafan ASEAN

    Oleh Sim Y. H.  – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MAC – Skim Persaraan Kebangsaan (SPK) telah diberi penghormatan 2024 Best of the Best ASEAN Awards untuk Most Improved Pension Fund yang dianjurkan oleh Asia Asset Management (AAM).

    Anugerah itu, jelas Tabung Amanah Pekerja (TAP) dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, mempamerkan pengiktirafan bagi usaha luar biasa Negara Brunei Darussalam dalam mengubah landskap persaraannya untuk memastikan persaraan yang mampan dan inklusif untuk ahli-ahlinya.

    Kategori Most Improved Pension Fund meraikan dana persaraan di rantau ASEAN yang telah melaksanakan skim dan manfaat baharu kepada ahli-ahlinya secara mampan, yang bertujuan untuk memenuhi keperluan jangka panjang dan mengutamakan kebajikan ahli-ahlinya.

    Anugerah berprestij itu mengiktiraf perjalanan Negara Brunei Darussalam dalam kemajuan inovatif yang dicapai bagi menambah baik skim persaraannya untuk menangani keperluan-keperluan persaraan ahli-ahli dan peralihan demografi yang mana terdapat peningkatan dalam golongan penuaan.

    Daripada penubuhan awal skim TAP sehingga penubuhan SPK, Negara Brunei Darussalam telah menunjukkan komitmen yang teguh untuk memastikan kesejahte-raan persaraan ahli-ahli serta tanggungan-tanggungannya.

    Salah satu peningkatan SPK yang signifikan ialah pendekatan holistik melalui penggunaan pelan persaraan hibrid, yang bukan sahaja memastikan pendapatan bulanan persaraan ahli lebih baik dan dapat mencapai sehingga sepanjang hayat, malah ia juga membolehkan pengeluaran daripada simpanan akaun ahli bagi keperluan-keperluan penting seperti rumah.

    Anugerah berkenaan merupakan bukti kepimpinan dan inovasi Negara Brunei Darussalam dalam prasarana persaraan.

    Ia diharap dapat memberikan inspirasi kepada institusi-institusi serantau lain untuk sama-sama dan sentiasa mengutamakan keselamatan sosial dan kesejahteraan persaraan ahli-ahlinya.

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda