Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OGOS – Kebakaran yang berlaku pada sebuah bilik di tingkat satu bangunan telah menyebabkan guru, kakitangan dan pelajar Sekolah Menengah (SM) Masin untuk mengosongkan bangunan sekolah berkenaan.
Itulah senario bagi latihan kebakaran dan pengosongan bangunan yang dikendalikan oleh Bahagian Perhubungan Awam, Cawangan Operasi F, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) bagi SM Masin yang diadakan pada 26 Ogos lalu.
Latihan juga disusuli dengan Penyampaian Sijil Taklimat Keselamatan Umum Life Saver 995 bagi sekolah berkenaan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Bahagian Perhubungan Awam, Cawangan Operasi F, di sini, latihan itu melibatkan seramai 867 orang guru, kakitangan dan pelajar sekolah.
Latihan melibatkan pengosongan di seluruh kawasan bangunan bersama lapan orang anggota bomba dan penyelamat dengan tiga buah jentera dari Balai Bomba Pengkalan Batu yang diketuai oleh Timbalan Pegawai Balai Zulkefle bin Haji Ali dan Stesen Komander Pegawai Balai Haji Saman bin Haji Saidin.
