Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    SM Sultan Hassan berwajah baharu

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 FEB – Pelajar dan guru-guru Sekolah Menengah (SM) Sultan Hassan, Temburong akan menikmati suasana dan kemudahan pembelajaran yang bukan sahaja kondusif tetapi serba moden bagi pembelajaran abad ke-21 apabila mereka berpindah dan menggunakan bangunan sekolah yang baharu tidak lama lagi.

    Sehubungan itu, Jabatan Perancangan dan Pengurusan Estet, Kementerian Pendidikan telah mengadakan Majlis Penyerahan Kunci bagi Bangunan Baharu SM Sultan Hassan yang terletak di Kampung Batu Apoi, Mukim Batu Apoi, Daerah Temburong, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian kunci bagi bangunan baharu sekolah itu ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh.

    Bangunan sekolah dengan keluasan 15.419 ekar berkenaan akan menggantikan bangunan SM Sultan Hassan Bangar yang asal, yang dibina sekitar 1984 dan mula digunakan pada 1986.

    Turut hadir ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Awang Sulaiman bin Haji Nasir; Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional), Kementerian Pembangunan, Ir Haji Amer Hishamuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Haji Zakaria; Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Pendidikan; Pegawai Daerah Temburong, Penghulu Mukim Batu Apoi, Ketua Kampung Batu Apoi dan pegawai-pegawai dari Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pembangunan.

    Yang Berhormat Menteri Pendidikan semasa meninjau kemudahan-kemudahan yang terdapat di bangunan baharu SM Sultan Hassan, Temburong.
    Ir Haji Amer Hishamuddin semasa menyerahkan replika kunci kepada Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah.

    Lebih ceria…Bangunan baharu SM Sultan Hassan, Temburong yang terletak di Kampung Batu Apoi, Mukim Batu Apoi, Daerah Temburong.

    Di majlis itu, Ir Haji Amer Hishamuddin telah menyerahkan kunci bangunan kepada Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah yang seterusnya menyerahkan kunci bangunan kepad

    a Pemangku Pengetua Sekolah Menengah Sultan Hassan, Temburong, Awang Helmy bin Haji Abdul Rahman.

    Yang Berhormat Datin juga berpeluang untuk menyaksikan dengan lebih dekat serta diberikan penerangan mengenai kemudahan-kemudahan yang terdapat di bangunan sekolah baharu berkenaan.

    Awang Helmy dalam temu bual ringkas bersama pihak media menyatakan bahawa bangunan baharu sekolah yang boleh menampung kira-kira 1,200 orang pelajar berkenaan mengetengahkan konsep pembelajaran abad ke-21 yang memberikan suasana pengajaran dan pembelajaran yang selesa, kondusif dan berkualiti bagi warga sekolah.

    Projek pembinaan semula berkenaan adalah selaras dengan rancangan jangka panjang dan hasrat Kementerian Pendidikan untuk menyediakan infrastruktur pendidikan yang lebih kondusif dan berkualiti melalui pelan Rancangan Kemajuan Negara Ke-11.

    Kementerian Pendidikan telah mengamanahkan pengurusan projek berkenaan kepada Jabatan Kemajuan, Jabatan Kerja Raya dan telah dianugerahkan kepada LCY Development Sdn Bhd melalui kaedah Design and Build.

    Projek pembinaan sekolah itu bermula pada 16 Februari 2021 dan selesai dilaksanakan pada 31 Januari 2023 dengan harga pembinaan berjumlah $16,308,152.

    Antara kemudahan yang disediakan adalah bangunan blok pentadbiran, blok dewan serbaguna, blok bilik darjah, blok makmal sains, blok perpustakaan, blok surau, blok kantin dan dewan makan, kawasan letak kereta, tempat penurunan, tempat penuntut beratur, pagar keliling kawasan, tempat letak kereta, laluan beratap, padang sekolah, pondok penjaga keselamatan, pondok pembuangan sampah, substesen dan rangkaian infrastruktur.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...