Solat lima waktu secara berjemaah dan membaca Al-Quran adalah rutin wajib yang dijalani penyanyi Mamat selepas enam bulan melalui fasa pertama di bawah pengawasan untuk rawatan dan pemulihan Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) di Kompleks Pengasih Cinta Manis, Bentong, Pahang.
Bekas vokalis kumpulan Exists itu berkata, pusat terbabit sentiasa menekankan aspek sahsiah diri serta kerohanian.
“Setiap hari kami akan bangun sebelum waktu subuh untuk mandi sebelum mendirikan solat subuh berjemaah.
“Di sana, saya adalah salah seorang koordinator dan akan menguruskan setiap aktiviti yang akan dilakukan penghuni lain.
“Antara aktiviti yang dijalankan ialah solat lima waktu berjemaah, selain menghadiri kelas mengaji Al-Quran,” katanya.
Mamat berkongsi pengalaman peribadinya dalam satu perkongsian bersama Dol’s Podcast kendalian Shuib, Mamat Sepah dan Fizie Roslan.
Mamat atau nama sebenarnya, Mohd Ali Kamarudin, 48, berkata, langkah terbaik untuk kembali menjalani kehidupan lebih baik adalah melalui pusat itu.
“Apabila saya sampai di Pengasih, sambutan dan layanan diberikan kepada saya sangat baik, sekali gus membuatkan kita hormat satu sama lain dan sentiasa ada sebagai satu keluarga.
“Disebabkan itu juga membuatkan saya bertambah bersemangat mahu berubah, selain enggan lagi berputus asa,” katanya.- Agensi