Tuesday, March 11, 2025
22.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Son perlu lupakan masalah di Tottenham

    SEOUL, 10 MAC – Son Heung-min perlu mengetepikan masalahnya bersama Tottenham Hotspur yang sedang bergelut dan memberi tumpuan kepada usaha Korea Selatan untuk melayakkan diri ke Piala Dunia tahun depan, kata jurulatih pasukan kebangsaan hari ini.

    Son masuk sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua dan menyelamatkan satu mata buat Spurs dengan sepakan penalti lewat dalam keputusan seri 2-2 di laman sendiri menentang Bournemouth semalam.

    Namun, penyerang berusia 32 tahun itu kurang bermain pada musim ini dan hanya menjaringkan tujuh gol dalam Liga Perdana Inggeris ketika kelab London itu merosot di bahagian bawah carta liga.

    Korea Selatan boleh mengesahkan kelayakan ke Piala Dunia buat kali ke-11 berturut-turut, jika mereka berjaya menewaskan Oman dan Jordan dalam aksi kelayakan di laman sendiri bulan ini.

    Hong Myung-bo menamakan Son dalam skuadnya dan menegaskan bahawa pasukan kebangsaan adalah persekitaran yang berbeza sepenuhnya bagi kapten mereka.

    Son Heung-min menjaringkan gol buat Tottenham Hotspur dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris di Stadium Tottenham Hotspur, London, pada 9 Mac. – AP

    Hong yakin usaha Son untuk membantu Spurs menamatkan kemarau trofi selama 17 tahun tidak akan menjejaskan prestasinya bersama Korea Selatan.

    “Saya tidak mahu mengaitkan kemarau trofi dengan pasukan kebangsaan,” kata Hong.

    “Sudah tentu, kami mahu Son Heung-min beraksi cemerlang bersama kelabnya dan membawa momentum itu ke pasukan kebangsaan.”

    “Saya percaya dia akan terus menunjukkan prestasi yang baik,” tambahnya.

    Son telah berdepan masalah kecederaan pada musim ini, dan hanya menamatkan 90 minit permainan sebanyak lima kali sejak awal tahun ini.

    Hong berkata tiada jaminan Son akan berada dalam kesebelasan utama ketika Korea Selatan menentang Oman pada 20 Mac, dan Jordan lima hari kemudian.

    “Terdapat banyak perbincangan mengenai prestasi semasanya, termasuk jumlah gol yang dijaringkan,” katanya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda