Tuesday, November 26, 2024
28.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    S’pura, AS tandatangani perjanjian kerjasama nuklear awam selama 30 tahun

    SINGAPURA, 31 JULAI – Singapura dan Amerika Syarikat (AS) telah menandatangani perjanjian kerjasama nuklear awam selama 30 tahun dikenali sebagai Perjanjian 123, yang akan memudahkan akses republik itu kepada maklumat terperinci mengenai teknologi tenaga nuklear dan kepakaran AS yang di bawah kawalan eksport.

    Perjanjian yang merangkumi rangka kerja komprehensif untuk memperdalam kerjasama nuklear aman berdasarkan komitmen bersama terhadap pengawalan nuklear itu ditandatangani oleh Setiausaha Negara AS, Antony Blinken dan Menteri Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan, hari ini.

    “Setelah berkuatkuasa, perjanjian ini akan membolehkan kerjasama nuklear yang lebih mendalam, selaras dengan piawaian keselamatan, keselamatan, dan pengawalan antarabangsa tertinggi, serta membina perkongsian dua hala yang kukuh,” kata kedua-dua kerajaan dalam satu kenyataan bersama.

    Perjanjian itu perlu disemak oleh Kongres AS sebelum boleh berkuat kuasa, yang dijangka pada akhir tahun ini.

    Melalui perjanjian itu serta inisiatif pembinaan kapasiti lain, AS dan Singapura berkata mereka berhasrat untuk memperkukuh kerjasama nuklear awam untuk lebih memahami bagaimana teknologi tenaga nuklear maju, termasuk reaktor modular kecil boleh menyokong matlamat iklim sambil mengimbangi keperluan tenaga kritikal.

    Inisiatif pembinaan kapasiti lain termasuk program Infrastuktur Asas untuk Penggunaan Bertanggungjawab Teknologi Reaktor Modular Kecil (FIRST) Jabatan Negara AS, yang disertai oleh Singapura bersempena dengan penandatanganan Perjanjian 123.

    Kementerian Alam Sekitar dan Kelestarian serta Kementerian Perdagangan dan Perusahaan Singapura dalam helaian fakta yang dikeluarkan hari ini berkata republik itu belum membuat sebarang keputusan mengenai penggunaan tenaga nuklear di negara ini. – Bernama

    Antony (kiri) dan Balakrishnan semasa menghadiri majlis menandatangani perjanjian tersebut di Kementerian Luar Singapura di Singapura, pada 31 Julai. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda