Friday, September 20, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    SR YSHHB anjur acara kerohanian, ceramah

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 SEPT – Sebagai persediaan rohani bagi pelajar Tahun 6 yang bakal menduduki Penilaian Sekolah Rendah (PSR) tidak lama lagi, Sekolah Rendah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SR YSHHB) menganjurkan Majlis Solat Sunat Hajat, bacaan Surah Yasin dan Ceramah Motivasi di dewan sekolah berkenaan, kelmarin.

    Pengetua SR YSHHB, Hajah Mariam binti Haji Ladi, yang hadir selaku tetamu kehormat, turut menyampaikan amanat dan nasihat kepada 176 orang pelajar Tahun 6 agar bersungguh-sungguh menghadapi PSR, kerana keputusan peperiksaan tersebut adalah penting untuk masa depan mereka.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh pelajar Tahun 6 Earth, Awangku Mohd Ameer Haikal bin Pengiran Junaidi dan diteruskan dengan ceramah motivasi yang disampaikan oleh Pegawai Ugama dari Pusat Dakwah Islamiah, Awang Mohammad Nasyith bin Superi.

    Ceramah motivasi tersebut bertujuan untuk memberikan dorongan rohani kepada pelajar, di samping menekankan kepentingan peperiksaan tersebut sebagai langkah awal ke arah kejayaan masa depan. Pelajar turut diseru agar gigih berusaha bagi mencapai kecemerlangan akademik.

    Ceramah tersebut juga menggariskan peranan ibu bapa dalam memberikan sokongan berterusan kepada anak-anak, khususnya dalam aspek kasih sayang, dorongan moral serta menanam keyakinan diri bagi membantu mereka menghadapi cabaran akademik.

    GAMBAR SERAHAN SR YSHHB
    GAMBAR SERAHAN SR YSHHB
    Pelajar SR YSHHB bergambar ramai semasa majlis berkenaan. – GAMBAR SERAHAN SR YSHHB
    Antara murid Tahun 6 yang hadir semasa majlis tersebut. – GAMBAR SERAHAN SR YSHHB
    GAMBAR SERAHAN SR YSHHB

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda