PASSO DEL BROCON, 23 MEI – Pelumba basikal baharu dari Jerman, Georg Steinhauser, memenangi peringkat ke-17 Giro d’Italia, kelmarin ketika Tadej Pogacar mengukuhkan kedudukannya selaku pendahulu secara keseluruhan.
Pelumba berusia 22 tahun dari pasukan EF yang menunggang secara solo dalam pendakian gunung itu merupakan anak saudara kepada bekas juara Tour de France dan Vuelta a Espana, Jan Ullrich.
Steinhauser juga mendapat tempat ketiga dalam peringkat Queen yang mencabar pada Ahad lalu.
Steinhauser berjaya meraih kemenangan profesional pertamanya, kelmarin selepas beraksi solo pada jarak kira-kira 30km dan menamatkan pendakian terakhir yang melelahkan di Passo del Brocon setelah menunggang sejauh 159km dari Selva di Val Gardena.

Dia berpisah dengan Amanuel Ghebreigzabhier dengan baki 50km, kemudian meninggalkan pelumba Eritrea itu untuk menamatkan perlumbaan dengan kemenangan.
“Ia sesuatu yang luar biasa. Saya tahu saya berada dalam keadaan baik, saya fikir mungkin saya mempunyai keupayaan untuk memenangi peringkat,” kata Steinhauser.
“Hari ini, ketika saya menuju ke papan tanda, saya berkata kepada diri sendiri, ‘Saya dalam keadaan baik, mungkin saya akan menang hari ini’,” ujarnya.
Steinhauser melintasi garisan penamat satu minit dan 23 saat lebih awal daripada Pogacar yang membuat pecutan sendiri dari kumpulan jersi merah jambu dalam dua kilometer terakhir dan menambah jurangnya dengan Daniel Martinez kepada tujuh minit dan 42 saat. – AFP