Friday, September 20, 2024
35.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Swiatek lebarkan rekod kemenangan

    PARIS, 9 JUN – Pemain Poland, Iga Swiatek melanjutkan rekod kejuaraannya di Terbuka Perancis kelmarin apabila dia membelasah Jasmine Paolini 6-2, 6-1 dalam perlawanan akhir untuk memenangi kejuaraan Roland Garros ketiga berturut-turut.

    Pemain nombor satu dunia, Swiatek menumpaskan pemain pilihan ke-12 Itali, Paolini, yang merupakan finalis Grand Slam kali pertama, hanya dalam masa 68 minit untuk merangkul mahkota keempatnya dalam tempoh lima tahun di Paris.

    Swiatek kini telah memenangi kesemua lima perlawanan akhir Grand Slam yang disertainya. Kemenangannya yang lain diperoleh di Terbuka AS 2022.

    Beliau juga merupakan wanita keempat dalam era Terbuka yang berjaya menjulang Coupe Suzanne Lenglen sebanyak empat kali – selepas Justine Henin, Chris Evert dan Steffi Graf.

    “Sungguh menakjubkan berada di sini. Saya suka tempat ini. Saya menunggu setiap tahun untuk kembali,” ujar Swiatek, yang berjaya bangkit selepas menyelamatkan mata perlawanan ketika menentang Naomi Osaka pada pusingan kedua.

    “Sebelum ini, saya hampir tersingkir daripada kejohanan. Saya juga perlu percaya bahawa ini mungkin berlaku, dan ia adalah kejohanan yang penuh emosi.”

    Swiatek kini menjadi wanita ketiga yang berjaya memenangi kejohanan itu selama tiga tahun berturut-turut. Henin, adalah pemain terakhir yang berbuat demikian pada 2005-2007. Monica Seles juga mencapai kejayaan itu sebagai seorang remaja pada permulaan 1990an. – AFP

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda