Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Tabung Turkiye, Syria dilancar

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 FEB – Bagi menunjukkan rasa pemedulian Brunei terhadap negara-negara yang dilanda bencana, SMS Brunei Prihatin Tabung Kemanusiaan Gempa Bumi Republik Turkiye dan Republik Arab Syria telah dilancarkan hari ini di Dewan Digadong, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).

    Pelancarannya dijayakan bersama oleh KKBS, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), DST Sdn Bhd, Progresif Sdn Bhd dan imagine Sdn Bhd setelah mendapat perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi penubuhan tabung kemanusiaan berkenaan.

    Hadir melancarkan bersama SMS Brunei Prihatin itu ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.

    Turut hadir ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan; Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan) KKBS, Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari; Setiausaha Tetap KHEU, Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim; para pegawai dan kakitangan daripada beberapa buah agensi kerajaan dan swasta.

    Menurut kenyataan KKBS, penubuhan tabung kemanusiaan selama tiga bulan itu bertujuan untuk mengumpulkan derma berbentuk kewangan sahaja daripada semua rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam bagi membantu meringankan beban penderitaan yang ditanggung oleh rakyat Republik Turkiye dan Republik Arab Syria yang telah dilanda bencana gempa bumi pada 6 Februari lalu.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama dan Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan semasa melancarkan SMS Brunei Prihatin Tabung Kemanusiaan Gempa Bumi Republik Turkiye dan Republik Arab Syria.
    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama dan Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan semasa pelancaran SMS Brunei Prihatin Tabung Kemanusiaan Gempa Bumi Republik Turkiye dan Republik Arab Syria di Dewan Digadong, KKBS, kelmarin.
    Antara yang hadir semasa majlis pelancaran berkenaan.

    Menurut Yang Berhormat Dato, gempa bumi yang melanda dua negara terbabit merupakan bencana yang paling teruk dengan jumlah mangsa terkorban setakat ini melebihi 36,000 jiwa iaitu lebih 31,000 maut di Turkiye, manakala, hampir 5,000 lagi terkorban di Syria.
    Sepertimana yang disaksikan dalam media, katanya, jumlah korban jiwa dijangka akan meningkat, manakala mangsa yang cedera atau hilang tempat tinggal juga ramai dan amat memerlukan bantuan.

    Oleh yang demikian, Yang Berhormat Dato berkata, KKBS, KHEU dan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri telah pun mengadakan perbincangan awal untuk menilai keperluan bagi penubuhan tabung tersebut dan bersetuju atas bberapa penilaian seperti hubungan baik antara Brunei dengan Turkiye dan Syria, di samping sama-sama merupakan negara Islam.

    Dengan penubuhan tabung itu, ia akan memberi peluang kepada para penderma untuk menyalurkan dana secara langsung dan bagi membolehkan pelbagai pihak untuk menganjurkan aktiviti-aktiviti amal dan berkebajikan bagi tujuan mengumpul derma daripada seluruh rakyat dan penduduk negara ini untuk disumbangkan kepada mangsa gempa bumi berkenaan, tambah beliau.

    Yang Berhormat Dato juga berkata, Baginda Sultan juga memperkenankan penubuhan Jawatankuasa Kebangsaan Tabung Kemanusiaan Gempa Bumi Republik Turkiye dan Republik Arab Syria, yang mana Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama dan Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan telah diperkenankan sebagai penasihat bersama bagi jawatankuasa kebangsaan berkenaan.

    Sementara itu, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama sebagai timbalan penasihat, manakala Setiausaha Tetap KKBS dan Setiausaha Tetap KHEU adalah pengerusi bersama dan ahli-ahlinya terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan dan bukan kerajaan.

    Berikutan perkenan Baginda itu, maka mesyuarat pertama bersama ahli-ahli Jawatankuasa Kebangsaan Tabung Kemanusiaan Gempa Bumi Republik Turkiye dan Republik Arab Syria telah diadakan sejurus pelancaran SMS Brunei Prihatin bagi membincangkan bidang tugas masing-masing.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...