Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 APRIL – Seramai 40 orang terdiri daripada para pegawai dan kakitangan Pusat Dakwah Islamiah (PDI), ahli-ahli Jawatankuasa Belia Da’ie dan orang awam telah mengikuti Program Siri Tadabbur Al-Quran 6.0 bertempat di Dewan Serbaguna, PDI, kelmarin.
Turut menyertai seramai 20 orang menyertai program berkenaan secara langsung melalui Instagram, Belia Da’ie.
Program anjuran PDI melalui Urusetia Program Keugamaan Belia dengan kerjasama Badan Sukarelawan Belia Da’ie itu diadakan pada setiap Isnin selama empat minggu berturut-turut iaitu bermula dari 27 Mac hingga 17 April.
Ia turut dimuatkan dengan pelbagai perkongsian daripada para asatizah Negara Brunei Darussalam yang dijemput. Bermula dari sesi pertama yang mana kongsi sama adalah mengenai ‘Tadabuur Surah Al-Alaq’ oleh Pegawai Ugama, PDI, Awang Nasyith bin Superi.
Di sesi kedua, sesi kongsi sama mengenai ‘Tadabbur Surah Al Bayyinah’ disampaikan oleh Profesor Madya Dr Abdurrahman Raden Aji Haqqi dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA).
Sementara kongsi sama di sesi ketiga mengenai Tadabbur Surah Al-Zalzalah dan Surah Al-Qariah oleh Penolong Kanan Profesor Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPUSB), Dr Mikdar Rusdi.
Manakala bagi sesi terakhir, kongsi sama mengenai Tadabbur Surah Al-‘Adiyat dikongsikan oleh Penolong Profesor UNISSA, Dr Hajah Sarinah binti Haji Yahya.
Tujuan program diadakan adalah untuk mempelajari bidang tafsir Al-Quran secara intensif serta mendalami dan memahami makna-makna yang terkandung dalam Al-Quran atau istilah Arabnya, tadabbur.
Di samping itu, untuk menyemarakkan bulan Ramadan dengan menghadiri majlis ilmu berkenaan Al-Quran sambil mengeratkan silaturahim dalam kalangan ahli jawatankuasa Belia Da’ie dan orang awam.