Tuesday, March 18, 2025
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tahap keterjaminan makanan Malaysia stabil

    KUALA LUMPUR, 27 JULAI -Tahap keterjaminan makanan di Malaysia stabil dan bekalan makanan dalam negara diyakini mencukupi bagi menampung keperluan domestik, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia, Datuk Seri Mohamad Sabu.

    Beliau berkata berdasarkan Indeks Keterjaminan Makanan Global (GFSI) 2022, Malaysia berada di tangga ke-41 daripada 113 negara dengan skor 69.9 dan di tangga kedua selepas Singapura dalam kalangan negara Asia Tenggara.

    “Bagaimanapun, agenda keterjaminan makanan negara memerlukan penglibatan semua pihak dalam membuat perancangan dan hala tuju pembangunan industri agromakanan negara.

    “Komitmen semua pihak adalah amat diharapkan bagi meningkatkan keterjaminan makanan di samping usaha mengurangkan kebergantungan terhadap import,” katanya dalam ucaptama program Ministerial Forum Mengenai Keterjaminan Makanan Negara 2023, hari ini.

    Beliau menggariskan lima fokus utama KPKM tahun ini bagi menjayakan agenda keterjaminan makanan, selaras Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara dan Dasar Agromakanan Negara 2.0.

    Mohamad berkata fokus pertama ialah pemerkasaan industri akuakultur bertujuan mengurangkan tekanan kepada permintaan sumber perairan semula jadi, di samping meningkatkan pendapatan menerusi industri tersebut.

    “Kedua ialah memperluas penternakan lembu secara fidlot untuk memperkasakan pengeluaran lembu pedaging bagi memenuhi keperluan bekalan daging tempatan serta eksport dan ketiga, penanaman jagung bijian sebagai sasaran peningkatan pengeluaran jagung bijian sebanyak 30 peratus menjelang 2032 untuk mengurangkan kebergantungan import. – Bernama

    Gambar Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda