Thursday, April 18, 2024
28.5 C
Brunei

    -

    Tajaan pengajian mampu ubah nasib keluarga miskin

    KUALA LUMPUR – Penajaan pengajian percuma kepada pelajar generasi pertama keluarga miskin yang berjaya memasuki universiti seperti dicadangkan Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilihat mampu mengubah nasib golongan berkenaan.

    Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Anuar Ahmad berkata keberhasilan program seperti itu boleh dilihat pada tahun 70-an apabila kerajaan berjaya membantu golongan itu melalui beberapa program seperti asrama, biasiswa dan pinjaman.

    “Pada tahun 70an program-program sebegini mampu membuka peluang yang luas kepada anak-anak golongan ini. Ramai daripada mereka (yang telah dibantu) cemerlang dalam pendidikan dan telah mengubah nasib mereka dengan menjadi kumpulan profesional mempunyai pendapatan yang lebih baik.

    “Dasar ini sekiranya berjaya dibentang dan dilaksanakan sudah pasti memberi impak yang besar bukan sahaja kepada golongan tersebut malah kepada negara juga dalam merapatkan jurang kemiskinan di negara ini,” katanya ketika dihubungi Bernama.

    Mengulas lanjut, beliau berkata dalam melaksanakan dasar ini, kerajaan perlu memastikan definisi golongan miskin mana yang perlu ditaja kerana terdapat bermacam-macam bentuk dan kategori kemiskinan di negara ini.

    Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad (dua kanan) menunjukkan surat tawaran melanjutkan pengajian di USIM kepada Muhammad Hakimi Yunus (kanan) yang terpilih dalam Program SULUNG. – Bernama

    “Perlu penelitian daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) kerana kita tidak mahu pelaksanaan dasar ini kelak akan membuka ruang kritikan kepada penganjuran program ini.

    “Diharap KPT mempunyai garis panduan yang jelas bagaimana pelaksanaan penajaan ini dan mesti ada definisi, kerangka serta penjelasan bagi mereka yang layak dalam proses pemilihan dan sebagainya,” katanya.

    Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Muhammad Iqmal Hisham Kamaruddin berkata dengan penawaran program tersebut, pembentukan modal insan dalam kalangan golongan miskin dan B40 akan dapat direalisasikan secara menyeluruh.

    Beliau berkata program itu akan memberi ruang kepada pelajar terlibat untuk akses kepada pendidikan dan pengetahuan yang melaluinya akan mengeluarkan golongan itu dan keluarga mereka daripada kepompong kemiskinan.

    “Penawaran program ini sudah semestinya akan membantu terutamanya keluarga miskin dan B40 agar mendapat peluang pendidikan yang sama seperti golongan masyarakat yang lain di Malaysia.

    “Dengan mengambil kira kemampuan kewangan negara, program ini dilihat mampu dilaksanakan dengan sekurang-kurangnya memberikan bantuan pembiayaan yuran pendidikan secara percuma bagi golongan ini,” katanya.

    Bagaimanapun, ia bergantung kepada jumlah keseluruhan penerima dan implikasi kewangan negara yang akan terlibat, katanya.

    Beliau berkata program itu merupakan rentetan daripada pengenalan Program Pembangunan Siswa Sulung Keluarga Malaysia (SULUNG) sebelum ini yang kedua-dua program berkenaan mempunyai ciri persamaan yang tertumpu kepada keluarga miskin atau B40.

    Ditanya adakah ini merupakan langkah awal untuk menyediakan pengajian percuma untuk rakyat Malaysia, beliau berkata rakyat perlu realistik kerana pelaksanaan pengajian percuma secara keseluruhan akan menyebabkan implikasi kewangan yang besar kepada negara.

    Pada 30 Januari lepas, Mohamed Khaled mengumumkan akan memperkenalkan program penajaan pengajian percuma kepada pelajar generasi pertama keluarga miskin yang berjaya memasuki universiti dan mekanisme dan dasar tersebut akan dibawa kepada Jemaah Menteri untuk disokong dan dijadikan dasar berterusan kerajaan. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Utusan AS ke PBB berikrar sokong keluarga Jepun yang diculik Korea...

    TOKYO, 18 APRIL - Amerika Syarikat (AS) berdiri bersama Jepun sehingga semua warga Jepun yang diculik oleh Korea Utara beberapa dekad lalu pulang ke...