Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    ‘Tak perlu berpuasa semasa di ISS’

    HOUSTON, 26 JAN – Angkasawan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sultan al-Neyadi kelmarin berkata bahawa beliau tidak akan diwajibkan untuk berpuasa pada bulan Ramadan semasa menjalani misi angkasa lepasnya yang akan datang.

    Lelaki berusia 41 tahun itu akan menjadi angkasawan Arab pertama menghabiskan enam bulan di angkasa lepas apabila dia berlepas ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) bulan depan dengan menaiki roket SpaceX Falcon 9.

    Neyadi, Stephen Bowen dan Warren Hoburg dari NASA dan Andrey Fedyaev dari Rusia dijadualkan terbang ke ISS pada 26 Februari sebagai ahli SpaceX Dragon Crew-6.

    Ditanya pada sidang akhbar kelmarin bagaimana dia akan menyambut bulan suci Ramadan, apabila umat Islam biasanya berpuasa dari subuh hingga matahari terbenam, Neyadi berkata keadaannya berada di bawah pengecualian.

    “Saya dalam takrif sebagai pengembara, dan kita sebenarnya boleh berbuka puasa,” kata Neyadi. “Ia tidak wajib.”

    (Dari kiri) Bowen, Hoburg, Neyadi dan Fedyaev semasa sidang akhbar di Pusat Angkasa Johnson di Houston, Texas, kelmarin. – AFP

    “Sebenarnya berpuasa tidak wajib jika awda tidak sihat,” katanya.

    “Jadi dalam hal itu, apa sahaja yang boleh menjejaskan misi, atau mungkin meletakkan anak kapal dalam risiko, kami sebenarnya dibenarkan makan makanan yang mencukupi.”

    Neyadi akan menjadi warga negara kedua dari UAE untuk pelayaran ke angkasa lepas.

    Pada September 2019, Hazzaa al-Mansoori menghabiskan lapan hari di ISS.

    Angkasawan NASA dan angkasawan Rusia juga ditanya di Pusat Angkasa Johnson sama ada mana-mana ketegangan politik di Bumi, contohnya Ukraine, merebak ke angkasa.

    “Saya telah bekerja dan berlatih dengan angkasawan selama lebih 20 tahun sekarang dan ia sentiasa menakjubkan,” kata Bowen dari NASA.

    “Sebaik sahaja awda sampai ke angkasa, yang ada hanyalah satu kru, satu kenderaan dan kita semua mempunyai matlamat yang sama.”

    Fedyaev merujuk kepada ‘sejarah yang sangat panjang’ kerjasama angkasa lepas antara Rusia dan Amerika Syarikat.

    “Kehidupan orang di angkasa lepas di ISS benar-benar menunjukkan contoh yang sangat baik untuk bagaimana orang di Bumi harus hidup,” kata angkasawan Rusia itu. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...