Wednesday, February 5, 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tak rai ulang tahun, Zain, Aaisyah positif COVID-19

    Sambutan ulang tahun perkahwinan pasangan selebriti popular, Rozita Che Wan dan Zain Saidin terganggu apabila suami serta anaknya disahkan positif COVID-19, bulan lalu.

    Rozita yang lebih mesra disapa Che Ta mendedahkan anak perempuannya, Aaisyah Dhia Rana turut dijangkiti COVID-19 selepas sehari Zain disahkan positif.

    Disebabkan situasi tidak terduga, Che Ta berkata, perancangan bercuti ke sebuah pulau persendirian di Langkawi terpaksa ditunda.

    “Saya dan Zain merancang bercuti ke pulau berkenaan selama seminggu. Sepatutnya, kami pulang sehari sebelum ulang perkahwinan kelapan pada 11 Disember lalu.

    “Apa nak buat, kami tidak mampu menghalang semua ini. Zain sepatutnya menjalani penggambaran sebuah drama, bulan lalu juga terpaksa menolak tawaran.

    “Zain memang mempunyai gejala seperti batuk, selesema dan demam. Cuma, kami kurang pasti dari mana terkena jangkitan, kemudiannya terkena pula pada Aaisyah.

    Sambutan ulang tahun perkahwinan pasangan selebriti popular, Rozita Che Wan dan Zain Saidin terganggu apabila suami serta anaknya disahkan positif COVID-19. – Agensi

    “Bagaimanapun, Aaisyah hanya mengalami demam sahaja, deria rasa masih ada. Namun, saya dan dua anak lelaki disahkan negatif. Bagaimanapun, suami dan Aaisyah sudah pulih sepenuhnya,” katanya kepada BH Online.

    Che Ta berkata, secara peribadi, dia tidak suka situasi berkenaan berlaku.

    “Zain sudah lengkap dua dos vaksinasi, namun, tetap terkena juga. Virus ini memang ada hidup di sekeliling kita sekarang.

    “Jadi, reda sahaja apabila ahli keluarga dan adik beradik positif COVID-19. Apa yang penting, terus berhati-hati,” katanya memberitahu ibu dan adik beradik turut positif COVID-19, beberapa bulan lalu.

    Tambah Che Ta lagi, suami dan anaknya melakukan kuarantin sendiri di rumah.

    “Kasihan tengok Aaisyah. Walaupun deria rasa tidak hilang, tetapi kurang berselera makan.

    “Secara kebetulan, ibu berada di rumahnya di Subang Jaya, selalunya banyak berada di Kedah. Jadi, saya dan Aaisyah memilih menumpang di rumah ibu, manakala suami pula menjalani kuarantin di rumah kami.

    “Dua anak lelaki memilih menemani dan menjaga Zain di rumah,” katanya.

    Seperti kelazimannya meraikan ulang tahun perkahwinan, pasangan suami isteri itu tetap bersanding semula dalam sebuah majlis keraian di lokasi eksklusif di ibu kota.

    Che Ta dan suami mula bersanding semula sejak 2019. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda