Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Talian Harapan terima 10,000 panggilan sejak 2019

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 FEB – Isu kesihatan mental merupakan satu isu yang diberikan perhatian oleh Kementerian Kesihatan di mana kaji selidik dan pemerhatian yang dijalankan mendapati trend isu kesihatan mental di Negara Brunei Darussalam adalah membimbangkan.

    Kaji selidik The Global School-Based Health Survey (GSHS) yang dijalankan pada 2019 di Brunei, menunjukkan kadar percubaan membunuh diri dalam kalangan remaja berumur 13 hingga 17 tahun ialah sebanyak 12.2 peratus iaitu meningkat 5.7 peratus daripada kaji selidik yang sama pada 2014.

    Isu dan dapatan kaji selidik berkenaan dikongsi oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dalam ucapannya semasa Sesi Muzakarah Kementerian Kesihatan bersama ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang berlangsung di Pantai Jerudong Specialist Centre (PJSC), hari ini.

    Dalam menangani masalah itu, jelasnya, perkhidmatan Talian Harapan 145 telah dilancarkan pada 2019 dan setakat penghujung 2022, lebih daripada 10,600 panggilan telah dicatatkan.

    “Pada 2022 sahaja, sebanyak 2,428 panggilan telah diterima iaitu purata lebih 200 panggilan setiap bulan.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham menyampaikan ucapan semasa Sesi Muzakarah Kementerian Kesihatan bersama Ahli-ahli MMN yang berlangsung di PJSC, kelmarin.
    YB Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham dan ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara bergambar-ramai dengan pegawai-pegawai kanan Kementerian Kesihatan semasa sesi muzakarah yang berlangsung di PJSC, hari ini.

    “Purata kes bunuh diri juga dilihat meningkat di mana di antara tahun 2010 hingga 2015, purata kes bunuh diri adalah lima kes setahun dan ia telah meningkat kepada 10 kes setahun antara tahun 2016 hingga 2020,” kongsi beliau.

    Yang Berhormat Dato berkata, selari dengan data-data berkenaan, Perkhidmatan Psikologi Klinikal dan Masyarakat juga mendapati peningkatan kes-kes yang dirujuk ke perkhidmatan berkenaan di mana pada masa ini, sebanyak 400 hingga 600 kes dirawat pada setiap bulan.

    Dalam perkara itu, beliau menyatakan kementeriannya sangat berharap supaya ia dapat ditangani secara pendekatan seluruh negara.

    Beliau berpendapat, pemimpin masyarakat mempunyai peranan yang kritikal dalam menangani perkara itu dengan signifikan melalui pendekatan seperti kerohanian, kemahiran, pembangunan minda, pendidikan dan kewangan.

    “Rakyat yang mempunyai kesihatan mental yang mantap dan berdaya tahan akan melahirkan modal insan yang sempurna dan mampu menjana generasi yang berwawasan selaras dengan matlamat Wawasan Brunei 2035,” ujarnya lagi.

    Terdahulu dalam ucapannya, Yang Berhormat Dato menyatakan kementeriannya masih mempunyai cabaran-cabaran yang perlu ditangani demi memelihara kedayatahanan sistem kesihatan dan juga dalam merealisasikan wawasan 2035 ke arah negara yang memiliki rakyat yang mempunyai kualiti hidup yang tinggi.

    Cabaran utama, ulasnya, ialah peningkatan kadar penyakit-penyakit tidak berjangkit di mana Brunei diramal akan berhadapan dengan beban peningkatan kadar penyakit-penyakit kronik tidak berjangkit (NCD), di samping akan melihat peningkatan jumlah warga emas yang ketara.

    Oleh itu, Kementerian Kesihatan terus berusaha untuk mempertingkatkan kesedaran mengenai kesihatan dalam kalangan masyarakat termasuk mempromosikan penuaan sihat dalam kalangan warga emas.

    Yang Berhormat Dato berkata, rakyat yang mempunyai jangka hayat dan kualiti hidup yang tinggi adalah merupakan petunjuk pencapaian yang telah pun disasarkan di bawah wawasan 2035.

    “Namun orang ramai juga perlu memainkan peranan dan mengambil tanggungjawab atas kesihatan mereka sendiri,” tambah beliau.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...