Saturday, April 27, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    Tambat hati pemerhati dengan perhiasan rekaan sendiri

    Oleh Amri HTZ

    Barangan perhiasan diri yang biasanya terbuat daripada emas mahupun perak sering kali menjadi pilihan terutamanya para wanita ketika menghadiri majlis-majlis rasmi.

    Namun perhiasan yang terbuat daripada batu permata, jed mahupun kulit asli juga tidak kurang mendapat tempat di hati peminatnya.

    Ini terutamanya bagi barangan perhiasan dari kulit asli seperti kasut, baju, gelang atau rantai yang juga diketahui mempunyai nilai yang cukup tinggi. Selain mendapatkan perhiasan yang telah siap untuk dipakai di pasaran, terdapat juga bahan-bahan mentah disediakan untuk mereka yang ingin merekanya sendiri.

    Perlu sediakan lebih awal

    Bagi projek mereka rantai daripada kulit asli pada projek ini, awda terlebih dahulu perlu menyediakan barangan seperti kulit asli (leather) jenis Suede berketebalan 2 milimeter (mm), manik kayu berukuran 6mm berjumlah 18 biji, gunting, pensel atau kapur jahit, tali kulit berukuran 3mm dengan panjang kira-kira 70 sentimeter (sm), alat penebuk lubang, kancing magnetik, gam cepat kering (super glue), kertas berukuran A4, kertas pasir dan cat lakuer.

    Langkah-langkah pembuatan

    Apabila kesemua barangan telah disediakan, langkah pertama pembuatan memerlukan awda untuk melakar bentuk buah rantai yang akan digunakan. Projek ini memilih bentuk daun dalam tiga ukuran berbeza. Ia akan dilakar pada sekeping kertas tersedia dengan gaya bebas. Bagi awda yang merasakan sukar untuk melakukannya sedemikian, awda juga boleh memuat turun stensil atau templat dari Internet kemudian mencetaknya.

    Templat daripada kertas yang digunakan sebagai contoh untuk memotong bentuk buah rantai.
    Teknik menebuk bahagian hujung kulit asli agar mempunyai kedudukan yang sama rata.
    Manik kayu dan potongan kulit asli yang disusun mengikut kedudukan dan ukuran.
    Sebelum memotong tali dan memasang kancing magnetik, langah mengukurnya juga perlu dilakukan.
    Bahagian hujung tali yang telah ditetapkan dengan lacing fid untuk memudahkan proses memasukkan manik kayu dan potongan kulit asli.

    Selain mendapatkannya secara memuat turun, menggunakan helaian daun asli dan menjadikannya sebagai templat juga boleh dilakukan yang setentunya menambahkan lagi keunikan pada rekaan. Dengan meletakkan daun pada kertas sedia ada dan meletakkan sesuatu di atasnya, awda hanya perlu meniru bahagian luar daun menggunakan pensel.

    Bentuk daun yang telah dilakar kemudiannya akan dipotong menggunakan gunting dijadikan sebagai templat. Oleh itu menggunakan kertas yang sedikit tebal akan membantu ketika proses meniru bahagian luar templat tersebut agar tidak mudah terselak menjadikan proses menirunya sukar.

    Potongan templat berkenaan seterusnya akan diletakkan pada permukaan kulit asli dan ditiru bahagian luarnya menggunakan pensel atau kapur jahit. Lima lakaran daun akan direka yang akan diletakkan pada bahagian tengah rantai, diikuti dengan dua daun sederhana besar dan dua lagi berukuran kecil yang akan diletakkan pada setiap bahagian hujung rantai nanti.

    Sekarang, dengan berhati-hati potong lakaran tersebut juga menggunakan gunting kemudian ratakan sudut potongan jika tidak kemas.

    Memotong helaian kulit asli memerlukan gunting yang tajam agar sudut potongan tampak rata dan bersih. Selain penggunaan gunting, pisau utiliti juga boleh digunakan memandangkan ia amat tajam dan perlu diingatkan, gunakan alas untuk memotong pada bahagian bawah agar meja kerja tidak rosak.

    Selesai memotongnya, kesemua potongan helaian daun daripada kulit asli tadi akan ditebuk bahagian atasnya dengan dua lubang. Sebelum menebuknya, pastikan kedudukannya betul dengan menumpukan bahagian hujung yang membulat.

    Alat menebuk lubang khusus akan digunakan yang biasanya digunakan untuk tali pinggang.

    Selain alat sedemikian, hole puncher juga boleh digunakan memandangkan ia boleh didapatkan dengan harga lebih murah. Cara penggunaannya agak berbeza di mana ia memerlukan awda untuk mengetuk menggunakan tukul pada bahagian belakang alat tersebut.

    Bahagian hujung rekaan yang membulat terlebih dahulu akan dilipat dua bertujuan untuk mendapatkan dua lubang setiap satu rekaan. Selain mendapatkan dua lubang dalam satu langkah penebukan, cara tersebut juga memastikan kedudukan kedua-dua lubang di antara setiap satu dalam jarak yang seimbang. Lakukan langkah yang sama pada setiap satu helaian kulit asli berbentuk daun tersebut.

    Sementara untuk manik daripada kayu yang tersedia, jika mendapatkan ukuran yang bersesuaian sukar untuk dilakukan, ataupun awda mahu menjimatkan kos bagi rekaan, merekanya sendiri merupakan pilihan utama. Pilih dowel kayu dengan ukuran bersesuaian yang boleh didapatkan daripada kayu bendera golf.

    Setelah mendapatkannya, tetapkan atau kepit salah satu bahagian hujung kayu pada mesin gerudi. Memotongnya dengan panjang lebih kurang 3 inci akan membantu proses mereka manik berbentuk bulat dengan mudah memandangkan material yang terlalu panjang menyebabkan melentur atau tidak stabil ketika mesin berputar.

    Minta bantuan seseorang untuk memegang dan menekan suis mesin gerudi untuk memutarkannya sementara awda membentuknya menggunakan pahat kayu. Selain mendapatkan bantuan, awda juga boleh mengekalkan mesin pada bench vise.

    Apabila berhasil mereka manik berbentuk bulat, langkah seterusnya hanya memerlukan awda menebuk bahagian tengahnya bagi membolehkan tali dimasukkan nanti. Bagi memastikan manik tersebut mempunyai permukaan yang halus, gosok permukaannya menggunakan kertas pasir.

    Bagi melakukan proses menggosok permukaan manik dengan mudah, awda hanya perlu menetapkan sebatang kayu pada mesin gerudi yang berukuran besar sedikit daripada lubang manik.

    Setelah itu, putarkan perlahan mesin dan sentuh permukaannya menggunakan kertas pasir berukuran 1,000 grit sehingga halus.

    Melindungi permukaan manik daripada kelembapan memerlukan awda untuk menyemburkannya dengan lakuer. Memandangkan ukurannya yang kecil, bagi memudahkan proses menyemburkan cat, tetapkan kedudukannya dengan memasukkannya ke dalam batang kayu sate. Sekurang-kurangnya dua lapisan nipis lakuer diperlukan untuk langkah ini.

    Setelah mengering, langkah terakhir rekaan ialah memasukkan tali ke dalam manik-manik dan potongan kulit asli yang telah direka.

    Tetapkan lacing fid pada bahagian hujung tali untuk memudahkan proses memasukkannya. Mulakan dengan sebiji manik diikuti dengan kulit asli berbentuk daun berukuran kecil, sederhana, besar kemudian sederhana besar dan kecil di mana setiap helaian kulit asli yang dimasukkan akan diselang-selikan dengan dua biji manik dan diakhiri dengan sebiji manik.

    Rekaan yang telah siap kini hanya perlu diikatkan dengan kancing magnetik bagi membolehkan awda memakainya untuk menghadiri majlis-majlis bersesuaian.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...