Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JUN – Seramai 40 orang pelajar Tahun 7 dan 8 Sekolah Nusa Laila Puteri, Jangsak telah menyertai Taklimat Kenegaraan Raja Kita, Menghayati Bendera dan Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, yang berlangsung di dewan sekolah tersebut, kelmarin.
Program anjuran Unit Kenegaraan, Seksyen Komunikasi Strategik, Jabatan Penerangan itu dihasratkan untuk mengukuhkan semangat solidariti, patriotik dan kenegaraan yang tinggi dalam diri para pelajar. Hadir pada program itu ialah Pegawai Pentadbir dan Pemangku Pengetua Sekolah, Pengiran Hajah Norashikkin binti Pengiran Dr Haji Amir Mohd Yussof serta tenaga pengajar sekolah berkenaan.
Taklimat kenegaraan disampaikan oleh Penolong Pegawai Penerangan, Hajah Noorhijrah binti Haji Idris selaku ketua Unit Kenegaraan di mana isi kandungan taklimat antara lain menyentuh mengenai raja kita, tatacara menaik-kibarkan bendera negara dan sejarah lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam, Allah Peliharakan Sultan.
Semasa program, para penuntut juga berpeluang menyaksikan klip video dan menjawab kuiz.
