Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 FEB – Sekolah Sinaran Pelangi memeriahkan Sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) dengan mengadakan persembahan tarian singa dan aktiviti kaligrafi Cina, kelmarin.
Dalam menyemarakkan lagi sambutan berkenaan, Pasukan Tarian Sinfao Unity Charity Association telah dijemput untuk mempersembahkan tarian singa yang berwarna-warni dan memukau yang berjaya menarik minat pelajar, ibu bapa, serta tetamu yang hadir.
Persembahan itu merupakan acara tahunan yang kali kedua diadakan sempena sambutan TBC di sekolah berkenaan.
Selain tarian singa, sudut kaligrafi Cina turut disediakan bagi membolehkan pengunjung mencuba seni tradisional tersebut. Aktiviti ini bertujuan menjadikan sambutan lebih interaktif serta mendekatkan masyarakat dengan budaya Tionghua.
Pengarah Eksekutif Sekolah Sinaran Pelangi, Loo Shee Yun, menzahirkan rasa gembira melihat penyertaan aktif para ibu bapa dan anak-anak dalam acara tersebut.
Beliau turut menyatakan penghargaan kepada Aewon atas tajaan serta Unity Charity Association atas persembahan tarian singa yang memeriahkan sambutan.
Sambutan itu bukan sahaja mengukuhkan hubungan antara sekolah dan komuniti, malah turut meraikan kepelbagaian budaya serta tradisi, di samping mencipta suasana riang dan meriah, sekali gus mencerminkan semangat perpaduan dalam kalangan warga sekolah.