Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 APRIL – Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar menyatakan penutupan sempadan kekal menjadi perkara terakhir yang akan dibuka semula selagi pandemik COVID-19 di sekeliling dan seluruh dunia belum lagi berakhir.
Beliau menyatakan perkara tersebut semasa menjawab persoalan yang diutarakan pada Sidang Media bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.
Bagaimanapun, Yang Berhormat Dato berkata, Kementerian Kesihatan sedang meneliti untuk menarik balik sekatan-sekatan yang ada dan pada masa ini masih dalam peringkat perancangan.
“Hal tersebut masih dalam perundingan sebab ia tidak dilaksanakan sekali gus, namun sempadan kekal perkara yang terakhir akan dibuka. Buat masa ini, apa yang dibincangkan adalah bagaimana kita memastikan kemenangan negara.
“Jumlah jangkitan telah mendatar dalam tempoh yang lama, hanya terdapat satu dua kes. Insya Allah dengan adanya aplikasi khusus nanti ia akan dapat membantu menarik balik beberapa sekatan,” tambahnya.


Mengenai aplikasi tersebut, Yang Berhormat Dato mengatakan ia akan diumumkan kemudian setelah pihak-pihak berkenaan dan kesemua kementerian yang berkaitan menyelesaikan semua perkara termasuk kos yang sewajarnya.
“Aplikasi berkenaan yang disebutkan sebelum ini terutamanya untuk pengesanan kontak akan menjadi norma baharu. Semua orang seboleh-bolehnya mengisi borang penilaian itu pada setiap hari.
“Kemudiannya, ia akan memberi kod. Sekiranya kodnya hijau, anda boleh bergerak, jika ianya merah, anda tidak dibenarkan, manakala kod kuning anda boleh bergerak tetapi boleh merayu dan doktor akan membalas dan beri anda sejenis sijil.
“Ini pun masih dalam ‘mempayukan’ (proses memuktamadkan) lagi kaedah ini dan dari segi dwibahasanya jua dalam Bahasa Inggeris dan Melayu. Insya Allah dalam masa terdekat nanti, bila aplikasi ini dapat dijalankan, cara penggunaannya akan diberigakan,” jelas Yang Berhormat Menteri Kesihatan.
Dengan adanya aplikasi tersebut, Yang Berhormat Dato berpendapat ia akan membantu kita sekiranya terjadi sesuatu, ia akan memberitahu siapa orang-orang (kontak) yang berada di sekitar anda agar senang diadakan pengesanan kontak terutama sekali bila berada di luar, contohnya di restoran, di masjid dan sebagainya.