Friday, January 17, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Taufan Chido ragut 14 nyawa

    SAINT-DENIS DE LA REUNION, 15 DIS – Kira-kira 14 orang terbunuh di Mayotte apabila taufan kuat melanda wilayah Lautan Hindi Perancis, kata pihak berkuasa hari ini, dengan pegawai memberi amaran bahawa ia akan mengambil masa beberapa hari untuk mengetahui jumlah mangsa yang terkorban.

    Pekerja penyelamat dan bantuan sedang dikerahkan ke tempat kejadian melalui udara dan laut, tetapi usaha mereka mungkin tdihambat oleh kerosakan lapangan terbang dan bekalan elektrik di wilayah di mana air minuman bersih juga terjejas.

    Jumlah 14 orang maut itu dikira dalam senarai sementara yang disusun oleh pihak berkuasa, kata sumber keselamatan kepada AFP.

    Sementara itu, sembilan orang mengalami luka teruk dan sedang bertarung nyawa di hospital, kata datuk bandar ibu kota Mayotte, Mamoudzou, Ambdilwahedou Soumaila, manakala 246 lagi cedera parah.

    “Hospital, sekolah-sekolah dibadai taufan. Rumah-rumah semuanya musnah,” katanya.

    Seramai 320,000 penduduk Mayotte telah diarah berkurung ketika taufan Chido melanda pulau-pulau sekitar 500 kilometer (km) di timur Mozambique.

    Angin dengan kelajuan kira-kira 226km sejam telah memusnahkan banyak pekan di wilayah itu, kata Pemangku Menteri Dalam Negeri, Bruno Retailleau, selepas mesyuarat krisis di Paris kelmarin.

    Taufan itu telah menumbangkan tiang elektrik dan pokok-pokok manakala bumbung dan dinding n logam tercabut daripada struktur buatan yang didiami oleh satu pertiga daripada penduduk. – AFP

    Gambar menunjukkan rumah musnah di wilayah Mayotte Perancis di Lautan Hindi, selepas Taufan Chido melanda kawasan itu pada 15 Disember. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda