Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tayar ‘kalis pancit, pulih sendiri’?

    KUALA LUMPUR, 22 OKT – Syarikat penyelidikan teknologi, RAA Technology Sdn Bhd (RAA Tech), merancang untuk melancarkan tayar ‘kalis pancit, pulih sendiri’ selewat-lewatnya pada Januari 2024.

    Ketua Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) RAA Tech, Mimi Syahira Masraf berkata inovasi baharu itu ialah produk tayar motosikal berasaskan getah kalis pancit.

    “Masalah tayar terutama tayar pancit boleh berlaku dalam pelbagai situasi. Serpihan seperti kaca pecah dan paku boleh menjejaskan integriti tayar, dan meningkatkan kemungkinan tayar akan pancit semasa di atas jalan.

    “Sebagai penyelesaian, tayar kalis pancit dan pulih sendiri ini mempunyai keupayaan untuk kembali baik dengan sendirinya dan memulihkan fungsinya apabila rosak tanpa memerlukan pengesanan atau pembaikan oleh apa-apa cara campur tangan manual,” katanya kepada Bernama di luar acara Ekspo R&D dan Inovasi Selangor (SRIE) 2023 baru-baru ini.

    Beliau berkata selepas usaha selama tujuh tahun, penyelidik berjaya mencipta getah pulih sendiri yang membawa kepada pembangunan tayar pulih sendiri di bawah teraju Pengasas RAA Tech, Raa Khimi Shuib dengan geran pembiayaan bernilai RM450,000 oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) pada 2017.

    Bahan itu dibangunkan berasaskan getah asli dan divulkankan menggunakan agen kuratif pulih sendiri yang dibangunkan penyelidik.

    Mimi Syahira menjelaskan bahawa getah pulih sendiri membentuk lapisan pengedap, yang diletakkan di dalam tayar pada tempat yang sepadan dengan corak bunga.

    “Dalam kes penembusan oleh objek luar seperti paku, penunggang tidak perlu menukar tayar di tepi jalan serta-merta, kerana bahan itu segera membaikinya sendiri, memulihkan fungsi tayar dan menyekat setiap kemungkinan kebocoran udara (dan) penunggang tidak akan menyedari tayar itu pancit,” katanya. – Bernama

    RAA Tech merancang untuk melancarkan tayar ‘kalis pancit, pulih sendiri’ selewat-lewatnya pada Januari 2024. – Mekanika

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda