Wednesday, March 12, 2025
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tekanan Beto bawa watak pengasas silat gayong

    Diberi tanggungjawab menghidupkan watak pengasas silat gayong, Allahyarham Datuk Meor Rahman menerusi filem Gayong memberi tekanan hebat buat pelakon terkenal, Beto Kusyairy.

    Beto mengakui antara yang bermain di fikiran ialah penerimaan masyarakat terutama keluarga dan anak didik kepada tokoh berkenaan, selain berdebar menantikan tayangannya pada Mei depan.

    “Sudah tentu pelbagai cabaran saya lalui untuk bawakan watak ini. Cabaran utama dari sudut tanggapan masyarakat, terutama dalam kalangan keluarga dan anak murid arwah.”

    “Mungkin ada ribuan anak murid yang sudah mempelajari silat gayong ini.”

    “Terus-terang, saya agak berat bila dapat tawaran menggalas watak ini, saya fikirkan penerimaan masyarakat,” katanya kepada BH Online.

    Beto Kusyairi sebagai watak Meor dalam filem Gayong yang bakal ditayangkan di pawagan pada bulan Mei. – BH Online

    Biarpun sudah menuntut ilmu silat gayong sejak berusia tujuh tahun, Beto atau nama sebenar, NurKusyairy Zakuan Osman, 45, bagaimanapun menjelaskan tugas menjayakan filem biopik memerlukan penelitian menyeluruh.

    “Saya ambil langkah berjumpa anak murid arwah yang masih ada. Sudah tak ramai, hanya tinggal tiga orang sahaja.”

    “Mereka beri sokongan untuk teruskan, jadi, saya ambil tanggungjawab. Ini bukan watak dicipta, tetapi inspirasi daripada perjalanan pengasas silat gayong di Malaysia,” katanya.

    Dalam pada itu, Beto memberitahu, filem Gayong memaparkan kehidupan Allahyarham Meor yang mungkin masih belum diketahui ramai terutama ketika era 1940an, iaitu sebelum silat gayong diasaskan secara rasmi.

    “Garis masa filem ini sebelum silat gayong ditubuhkan secara rasmi ketika era 1940an. Ketika itu, British masih ada dan Jepun mahu ambil alih Tanah Melayu.”

    “Itu sedikit sebanyak mengurangkan rasa gemuruh yang ada dalam diri. Filem ini juga mahu tonjolkan kehidupan arwah Meor yang orang ramai atau pelajarnya tidak tahu,” katanya.

    Filem Gayong arahan Faisal Ishak turut menampilkan Nabila Huda, Syafie Naswip, pelakon aksi popular dari Indonesia, Yayan Ruhian dan aktor Thailand, Chevanon Phukaokaew. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda